
TAPAH: Keluarga kecil yang menetap di Rumah Pangsa Seri Bidor di sini bersyukur kerana Kad Perak Sejahtera amat membantu terutama melibatkan perihal kewangan memandangkan suami yang menjadi ketua keluarga hanya bekerja sebagai mekanik kereta secara sambilan.
Menurut Kumaran Balakrishnan, 35, pendapatannya tidak menentu kerana bergantung kepada permintaan orang ramai yang menghadapi masalah berkaitan kenderaan mereka selain persaingan bengkel kereta dan perkongsian tutorial dalam media sosial seperti Facebook, TikTok dan Youtube.
“Macam-macam yang telah saya lakukan termasuk berkongsi tawaran perkhidmatan dalam grup WhatsApp dan media sosial tetapi ramai yang telah membuat perkara serupa termasuk menawarkan harga yang lebih murah demi mendapatkan pelanggan.
“Pendapatan bulanan saya hanya sekitar RM600 yang perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak yang masih kecil iaitu seorang lelaki berumur enam tahun dan perempuan yang baru berusia setahun,” katanya.
Katanya, dahulu dia terpaksa meminjam pada keluarga dan rakan-rakan kerana mengalami defisit perbelanjaan bulanan.
“Kad Perak Sejahtera ini ibarat ‘talian’ kehidupan kami kerana walaupun hanya RM100 sebulan tetapi banyak barangan kering dan basah seperti beras, minyak masak, telur termasuk ayam dapat dibeli.
“Saya tidak perlu meminjam lagi dan agak malu kerana sebagai ketua keluarga asyik meminta selain terharu dengan keprihatinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang sentiasa turun padang bagi memastikan kebajikan setiap rakyat menjadi keutamaan,” katanya.
Dia juga hanya perlu membayar RM104 sebulan untuk sewaan di Rumah Pangsa Seri Bidor yang diuruskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).
Kumaran juga sering menerima bantuan kotak makanan oleh wakil rakyatnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri Bakir selain bantuan semasa perayaan Deepavali selain persekolahan untuk anak sulungnya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam Belanjawan 2026 pada November tahun lalu mengumumkan penerima Kad Perak Sejahtera seramai 21,000 orang dengan peruntukan sebanyak RM24.5 juta.
Inisiatif kerajaan negeri Perak itu untuk membantu golongan B40, miskin dan miskin tegar membeli keperluan asas harian di 291 kedai dan pasar raya panel berdaftar di seluruh negeri dengan nilai keseluruhan RM1,200 setahun.
Ini merupakan inisiatif dan komited Saarani untuk membasmi kemiskinan tegar selaras dengan Flagship 2: Perumahan Sejahtera dan Flagship 6: Membasmi Miskin Tegar 2025 di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030. – UTUSAN










