Latihan TVET bantu asnaf tambah pendapatan bulanan

Latihan TVET bantu asnaf tambah pendapatan bulanan

PROGRAM Proper A OKU - Urutan Refleksologi dan Kiroterapi oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) membantu Mohd. Jaffri Azni menambah pendapatan sampingan untuk menyara keluarga. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kehidupan Mohd. Jaffri Azni dan Saa’awiah Abdul Sani yang masing-masing berumur 55 tahun bersama dua anak mereka sebelum ini stabil dengan pendapatan mencukupi sebagai ejen pelancongan selain berniaga makanan.

Namun, Mohd. Jaffri secara tiba-tiba diuji diserang penyakit radang kedua-dua kakinya pada tahun 2023 yang menyebabkan kesukaran untuk bergerak dan melakukan aktiviti seharian.

“Sebelum itu, saya mengambil keputusan pulang ke kampung halaman isteri untuk berniaga ayam goreng. Pendapatan agak stabil yang mampu menampung kehidupan sekeluarga.

“Secara tiba-tiba saya diserang penyakit radang pada kedua-dua bahagian kaki yang membataskan pergerakan. Bagaimana untuk berniaga sekiranya untuk mandi sekalipun perlu dibantu oleh isteri,” katanya ditemui di Kampung Baru (M) Ayer Kuning di Tapah.

Katanya, sebaik sahaja dikesan menghidap penyakit itu, dia berulang-alik ke klinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan secara berkala.

“Ribuan duit habis dan saya setakat ini hanya memperolehi bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan. Isteri pula suri rumah. Mujur menetap di rumah pusaka peninggalan keluarga isteri dan tidak perlu menyewa.

“Kedua-dua anak telah bekerja malah yang sulung iaitu seorang lelaki telah berkahwin. Mereka itu kerja biasa-biasa sahaja dan sekadar cukup untuk keperluan sendiri. Tidak ingin menyusahkan mereka untuk tempoh yang lama,” katanya.

Kehidupannya mula menampakkan sinar apabila terpilih mengikut Proper A OKU – Urutan Refleksologi dan Kiroterapi oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selama tiga bulan yang turut menerapkan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Syukur pendapatan mula bertambah kira-kira RM200 setiap bulan untuk membeli barangan keperluan asas dan membayar bil utiliti bulanan. Majoriti pelanggan ialah penduduk kampung sendiri dan berhampiran.

“Namun, saya memerlukan katil dan kerusi urutan untuk memudahkan pergerakan serta keselesaan pelanggan selain menyewa ruang berniaga semasa ekspo dan di pusat beli belah untuk capaian lebih ramai pelanggan kerana majoriti mereka sekarang ialah penduduk kampung sendiri dan sekitar,” katanya.

Beliau telah memohon bantuan katil dan kerusi urutan daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) yang setakat ini menerima respons positif.

Bantuan kerajaan negeri menerusi MAIPk itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 yang menepati flagship keempat iaitu Koridor TVET Malaysia.

Ia juga menepati flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat serta keenam Membasmi Miskin Tegar 2025 cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan dan mensejahterakan rakyat. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN