Tunku Besar Tampin santuni 100 asnaf sempena Aidiladha

Tunku Besar Tampin santuni 100 asnaf sempena Aidiladha

Cik Puan Anis Sobari ditemani Tunku Syed Razman menyampaikan sumbangan daging korban kepada penerima di Majlis Ibadah Korban sempena Aidiladha, di perkarangan Surau Al- Khusyu', Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri hari ini menyampaikan sumbangan daging korban kepada 100 penerima dalam kalangan asnaf di daerah ini sempena sambutan Aidiladha.

Majlis dianjurkan dengan kerjasama Yayasan VFive Group menerusi pelaksanaan ibadah korban melibatkan empat ekor lembu, sebagai usaha memastikan nikmat dan keberkatan Aidiladha dapat dikongsi bersama masyarakat setempat, khususnya golongan memerlukan.

Tunku Syed Razman menzahirkan penghargaan kepada Yayasan VFive Group atas sumbangan dan kerjasama dalam menjayakan program korban kali ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan VFive Group atas sumbangan serta kerjasama yang diberikan bagi menjayakan program ibadah korban ini.

“Semangat Aidiladha mengajar kita erti pengorbanan, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan. Rezeki yang dikongsi bersama ini diharap dapat membawa kegembiraan kepada golongan memerlukan, selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat,” katanya.

Program berlangsung di pekarangan Surau Al-Khusyu’, Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, turut dihadiri Cik Puan Isteri, Anis Sobari.

Cik Puan Anis turut menyampaikan sumbangan daging korban kepada penerima pada majlis berkenaan yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekeluargaan.

Beliau turut berharap budaya gotong-royong dan amalan saling membantu dapat terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.

Program itu juga mencerminkan kerjasama erat antara institusi diraja, badan kebajikan dan komuniti setempat dalam menjayakan inisiatif kebajikan demi manfaat rakyat di daerah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN