PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyekat kemaraan pasangan pecah ganding, Aaron Tai-Yap Roy King pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Obaekvej, Denmark, hari ini.
Pasangan No. 4 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas juara Terbuka Arctic tersebut 21-18, 21-11 dalam masa 33 minit di SJF Bank Arena.
Aaron-Wooi Yik bakal berdepan beregu ke-41 dunia, Hiroki Okamura-Kyohei Yamashita dari Jepun di suku akhir, esok.
Tiada rekod pertemuan yang tercatat membabitkan kedua-dua beregu, cuma Wooi Yik pernah menewaskan Okamura-Yamashita sewaktu bergandingan bersama Aaron Tai pada China Masters, bulan lalu.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, gandingan profesional Malaysia, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing mengejutkan pasangan No. 5 dunia, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 21-7, 21-11 dalam masa 24 minit.
Kemenangan tersebut membolehkan Pang Ron-Pei Jing mengikat rekod pertemuan mereka dengan beregu Thailand itu menjadi 1-1.
Pada peringkat lapan terbaik, Pang Ron-Pei Jing bakal menentang pasangan No. 18 dunia, Akira Koga-Natso Saito dari Jepun.
Bagaimanapun, nasib berbeza mengiringi beregu campuran No. 10 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang tewas di tangan pasangan tuan rumah, Mathias Christiansen-Alexandre Boje 7-21, 18-21 dalam masa 32 minit.
Ini merupakan kekalahan pertama Soon Huat-Shevon kepada beregu No. 3 dunia itu, dengan rekod pertemuan kini dirapatkan menjadi 2-1. – UTUSAN











