ANKARA: Istanbul pada Khamis berusaha memulihkan keadaan selepas dilanda banjir akibat hujan paling lebat sejak rekod bermula lebih 80 tahun lalu, menurut pihak berkuasa, ketika hujan lebat masih berterusan.
Hujan mula turun dengan lebat di bandar terbesar Turkiye itu pada pagi Rabu sebelum semakin deras sepanjang hari, menyebabkan keadaan kelam-kabut dan banjir kilat, dengan rakaman video menunjukkan kereta dihanyutkan arus deras.
“Kita bercakap mengenai paras taburan hujan tertinggi di Istanbul sejak rekod bermula pada 1942,” kata Gabenor Istanbul, Davut Gul.
Dua orang maut dalam kejadian banjir itu, termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang terkena renjatan elektrik ketika terpijak lopak air di kawasan Balat.
Remaja itu dikejarkan ke hospital tetapi petugas perubatan gagal menyelamatkannya, menurut pihak berkuasa.
Tiga lagi individu sedang menerima rawatan di hospital, kata Gul.
Pada petang Rabu, gabenor itu mengumumkan semua sekolah di seluruh Istanbul akan ditutup sehingga Isnin.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya berada di rumah kecuali jika benar-benar perlu keluar dan menasihatkan penduduk tinggal di kediaman bawah tanah supaya bermalam di tingkat lebih tinggi yang lebih selamat.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya menjauhi laluan sungai, laluan bawah tanah dan kawasan lain yang berisiko dilanda banjir.
Rakaman dramatik yang disiarkan dalam talian dan dikumpulkan agensi berita DHA menunjukkan deretan kereta diparkir di daerah Sariyer, di utara Istanbul, ditolak arus air berlumpur sebelum dihanyutkan.
Rakaman lain menunjukkan beberapa individu diselamatkan daripada arus deras ke tempat selamat melalui tingkap di tingkat satu, manakala di lokasi lain, dua individu yang membawa payung dilihat menaiki penyodok sebuah jengkaut besar sebelum dibawa ke tempat selamat.
Sebanyak 43 penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Istanbul di pesisir Laut Hitam terpaksa dilencongkan, begitu juga tiga penerbangan ke Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di bahagian Asia bandar itu.
Lapangan terbang berkenaan turut menggantung sementara operasi berlepas berikutan angin kencang, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan yang disiarkan agensi berita rasmi Anadolu.
Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD) menubuhkan pusat krisis bagi mengendalikan insiden akibat hujan lebat itu.
Menjelang malam Rabu, sebanyak 1,277 kejadian banjir, 15 tanah runtuh, 47 individu terkandas dan dua kejadian bumbung diterbangkan angin dilaporkan.
Hujan lebat dijangka berterusan sepanjang hujung minggu ini. – AFP











