PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikatakan perlu mendapatkan persetujuan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan daripada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Jika krisis adat di negeri itu berterusan sehingga berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN), wujud kemungkinan keputusan PRN boleh dibatalkan oleh mahkamah berikutan status pembubaran DUN yang meragukan.
Pengasas Jurisprudens Watan dan Profesor Madya ISTAC Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, tafsiran Raja Pemerintah Negeri Sembilan tidak hanya merujuk kepada Yang di-Pertuan Besar semata-mata, sebaliknya turut melibatkan Pembesar Memerintah iaitu Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Menurut beliau, Perkara 28 UUTKNS menetapkan keperluan mendapatkan perkenan Raja Pemerintah sebelum pembubaran DUN dilaksanakan.
“Isu penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mempunyai kesan undang-undang Perlembagaan yang amat serius kerana kuasa pembubaran DUN dan pelantikan Menteri Besar adalah bidang kuasa Raja Pemerintah Negeri Sembilan iaitu Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar Memerintah.
“Pembesar Memerintah Negeri Sembilan ialah Undang Luak dan Tunku Besar Tampin. Jadi, SPR perlu memastikan perkenan Raja Pemerintah Negeri Sembilan diperoleh mengikut Perkara 28 UUTKNS bagi maksud pembubaran DUN sebelum melaksanakan tugas Perlembagaan mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang pengisytiharan dan pengesahan pelantikan ke jawatan itu perlu dibuat mengikut saluran yang sah bagi mengelakkan berlakunya ketidakamanan.
Wan Ahmad Fauzi berkata, sebarang pertikaian berkaitan hak naik takhta pemerintah negeri perlu diselesaikan mengikut peruntukan yang ditetapkan dalam undang-undang tubuh negeri berkenaan.
Bagi Negeri Sembilan, perkara itu tertakluk kepada mekanisme dan pihak berkuasa yang diperuntukkan dalam UUTKNS.
“Undang-undang Persekutuan serta pihak eksekutif dan kehakiman Persekutuan tidak boleh mencampuri apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana negeri kerana pertikaian itu hendaklah diputuskan semata-mata oleh pihak berkuasa dan mengikut cara yang diperuntukkan oleh undang-undang tubuh kerajaan negeri itu.
“Dalam kes pertikaian takhta, pihak berkuasa yang berhak menentukan keabsahan takhta Yang di-Pertuan Besar hanyalah Undang Luak mengikut Perkara 10, 11, 29 dan 79 UUTKNS.
“Bagi kedudukan Pembesar Memerintah pula, ia tertakluk kepada bidang kuasa Dewan Keadilan dan Undang (DKU) mengikut Perkara 16 UUTKNS,” katanya.
Sementara itu, pakar Perlembagaan, Dr. Muhammad Fathi Yusof mengakui terdapat kemungkinan PRN Negeri Sembilan diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah berdasarkan situasi yang berlaku ketika ini.
Katanya, walaupun pilihan raya boleh diteruskan seperti dimaklumkan SPR, ia tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk mencabar kesahihannya melalui saluran perundangan.
“Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengambil sikap tidak memihak dan menjadi pemudah cara bagi penyelesaian kemelut yang berlaku.
“Sepatutnya isu konflik istana perlu dirungkai terlebih dahulu sebelum pembubaran DUN. Walaupun pembubaran bertujuan menyelesaikannya kemelut politik, namun realitinya ia bukan menyelesaikannya masalah, tapi menambahkan kerumitan,” katanya. – UTUSAN










