TANJUNG MALIM: Seorang anak muda di sini berjaya mengusahakan tanah terbiar milik bersama ibunya sekeluarga menjadi ladang pertanian bersifat ekonomi dan tapak perkhemahan aktiviti lasak berkaitan air yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Pengurus Tapak Perkhemahan Santuari Buyongmas dan Sukan Air (Buyongmas), Muhammad Luqman Irfan Ahmad Nazri, 31, menyahut cabaran keluarganya memajukan tanah terbiar seluas 2.02 hektar dengan mengusahakan pertanian berimpak tinggi serta pusat pelancongan perkhemahan terkenal sejak tiga tahun lalu.
Usahanya mendapat bantuan dan sokongan Jabatan Pertanian Perak yang memberikan geran berbentuk anak pokok, baja, racun dan peralatan pertanian dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dengan mengikuti kursus pemasaran fizikal serta dalam talian.
Selain itu, Tourism Perak, Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang, Majlis Daerah Tapah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin yang banyak membantu memperkembangkan Buyongmas lengkap dengan kemudahan awam iaitu jalan, jambatan baharu utiliti dan promosi.
“Saya berkelulusan Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Kuantan, Pahang sebelum ini dan mempunyai pengalaman bekerja di kilang di Johor Bahru serta Singapura dengan gaji yang lumayan.
“Namun, pujukan ibu supaya mengusahakan tanah terbiar di kampung membuatkan saya bertekad berhenti kerja sebelum menceburi bidang pertanian dan pelancongan secara sepenuhnya,” katanya.
Katanya, setakat ini dia menanam lebih 2,000 pokok pisang, 70 pokok durian pelbagai varieti seperti musang king, duri hitam, udang merah dan kampung, kelapa sawit dan getah.
Selain itu, sayur-sayuran seperti serai, bendi, ubi kayu, terung, cili dan buah-buahan seperti cempedak dan pulasan yang mampu menjana pendapatan mencecah lima angka setiap kali pengeluaran atau musim.
“Ibarat simbiosis atau melengkapkan antara satu sama lain kerana sementara menunggu Buyongmas dipenuhi pelanggan semasa cuti persekolahan dan umum, usaha tani ini menjana pendapatan yang lumayan.
“Malah, pengunjung pusat perkhemahan dapat menikmati durian, pisang dan buah-buahan lain secara terus dari ladang selain sayur-sayuran dapat digunakan untuk masakan secara katering kepada mereka,” katanya.
Berhubung Buyongmas, Muhammad Luqman berkata, tapak perkhemahan berlatar belakang Sungai Klah dan Tisong yang masih tidak tercemar tersebut menjanjikan kepuasan kepada pelanggan kerana boleh menyertai aktiviti air lasak seperti berakit arus deras, berkayak dan berhanyut di atas tiub.
Setiap tapak perkhemahan mempunyai palam elektrik untuk kemudahan pelanggan memasak atau sebagainya, tandas dan bilik air, pondok, inap desa dan kanopi bagi aktiviti dan menunaikan solat.
“Malah, pemancing ikan tegar sekiranya bertuah dapat menikmati ikan kelah, sebarau dan tengas yang isinya lembut dan manis untuk dimakan bersama keluarga tersayang dalam suasana ala perkampungan yang tenang,” katanya.
Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Batang Padang yang berpotensi tinggi dalam pembangunan pelancongan kerana kewujudan aset sumber semula jadinya, tarikan flora dan fauna dan elemen kebudayaan yang boleh diketengahkan dan dipromosikan sehingga peringkat antarabangsa serta Agromakanan Perak – Lembah Makanan Negara dengan tumpuan utama pertanian dan pelancongan.
Ia turut menepati Flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan), Flagship kelima Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Flagship kesepuluh iaitu Ekonomi Pengalaman hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan. – UTUSAN










