KUALA KANGSAR: Melihat kuih-muihnya yang musnah akibat dilanda hujan lebat menjadi detik pahit buat Azila Md. Ali, 46, ketika baru mula berniaga untuk menampung kehidupan sekeluarga.
Kejadian yang berlaku hampir sedekad lalu kekal dalam ingatan ibu kepada lima orang anak tersebut setelah memilih laluan untuk berniaga memandangkan tiada punca pendapatan lain.
Pada waktu itu, dia bersama suami memberanikan diri membuka perniagaan di bahu jalan ekoran kerap mengambil tempahan makanan dan kuih di kawasan kejiranan.
“Ketika mula berniaga, kami kekurangan modal pusingan. Keadaan bertambah buruk apabila khemah, meja dan produk jualan rosak teruk akibat hujan,” katanya.
Pada 2019, Azila berpeluang menyertai Program Pemerkasaan Ekonomi Asnaf di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang membantunya mengetahui selok-belok perniagaan, dibimbing dan diberikan bantuan peralatan perniagaan.
Program pemerkasaan oleh MAIPk itu menepati Flagship Ke-5 pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat yang digagaskan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Latihan yang diberikan kepada MAIPk itu adalah bagi menjayakan hasrat ‘Satu Keluarga, Satu Usahawan’ demi mengeluarkan isi rumah di negeri ini daripada kemiskinan.
Azila berkata, dia dengan suami kini bersungguh-sungguh bekerja keras memandangkan anak-anak mereka masih belajar.
“Bantuan itu membolehkan saya menambahkan lagi bilangan produk jualan. Saya menggunakan bantuan ini sebaik mungkin. Kini purata hasil jualan saya mencecah RM500 lebih seminggu,” katanya.
Kuih-muih yang dijual wanita itu ialah karipap pusing, Seri Ayu cheese, Seri Ayu kelapa, pelbagai jenis apam, roti jala, burger Malaysia, ketayap, talam berlauk, puding dan pelbagai jenis kuih talam serta menu-menu katering.
Sebelum tahun 2017, dia bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah taska swasta dengan pendapatan RM900 sebulan.
“Kemudian saya berhenti dan mula berniaga kuih sahaja. Selepas menyertai program MAIPk, Saya mengambil pelbagai jenis tempahan makanan kuih, biskut, kek, aneka sambal makanan katering.
“Suami kerja dalam bidang pembinaan. Tetapi setahun lepas, kesihatan suami semakin merosot selepas kemalangan di tempat kerja. Dia berhenti kerja dan kami sama-sama berniaga,” katanya.
Dia bersyukur apabila usahanya dengan bantuan suami dapat menjana pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup serta kini merancang untuk memperbesarkan lagi perniagaan.
Azila ingin memiliki kilang kecil-kecilan atau bengkel sendiri demi memenuhi permintaan kuih karipap pusing sejuk beku dan pelbagai produk lain.
“Saya juga berhasrat menjadikan bengkel itu sebagai platform untuk berkongsi ilmu dengan mengadakan kelas memasak buat komuniti kampung sekitar Kuala Kangsar dan mengambil anak tempatan untuk bekerja,” katanya.
Kemahiran yang dimiliki membolehkannya dilantik sebagai pengajar kursus masakan anjuran MAIPk dan beberapa agensi dan pusat pembelajaran.
“Dengan peluang yang ada, saya juga mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang bakeri dan pastri serta kursus sepanjang hayat di Kolej Komuniti demi menambah baik kemahiran sedia,” katanya. – UTUSAN










