Medan penyatuan cendekiawan bangunkan dunia Islam

Medan penyatuan cendekiawan bangunkan dunia Islam

DR. FACHRUDDIN MANGUNJAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penganjuran Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia Ke-8 (WCIT 2026) dilihat penting bagi mengetengahkan isu semasa dunia Islam termasuk idea-idea dari kawasan Nusantara.

Dekan Fakulti Biologi dan Pertanian Universiti Nasional (UNAS) Jakarta, Indonesia, Dr. Fachruddin Mangunjaya berkata, persidangan itu mampu menuju ke arah pembentukan kemajuan ketamadunan Islam untuk jangka masa panjang.

“Usaha ini menjadi satu kaedah penting ketamadunan pada masa depan. Mesti juga ada perbincangan mengenai ketamadunan Islam Melayu dan di Asia Tenggara,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau seorang daripada ahli panel dalam sesi bertajuk Kesihatan Awam: Kebersihan dan Sanitasi bersempena WCIT 2026.

Fachruddin memuji kesungguhan negeri Perak menganjurkan persidangan tersebut, sekali gus memberi ruang kepada mereka dari kawasan Asia Tenggara untuk terlibat sama berkongsi pandangan.

Sementara itu, Pensyarah Dasar Inovasi dari Universiti Teluk Arab, Bahrain, Prof. Dr. Odeh Rashid Al-Jayyousi berkata, penganjuran WCIT penting kerana ia mengumpulkan ilmuwan dan pakar daripada pelbagai latar belakang.

“Topik yang dibincangkan agak meluas dan relevan termasuk berkenaan tadbir urus, gaya hidup, teknologi dan kebersihan. Ini boleh menghasilkan idea secara kolektif,” katanya.

Beliau juga melihat potensi kerjasama antara penyelidik Islam, hasil dapatan dalam persidangan tersebut yang dianjurkan oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar.

WCIT berjaya menghimpunkan ahli akademik, tokoh, pemain industri dan pentadbiran dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Brunei, Kemboja, Indonesia dan beberapa lagi terutama dari negara-negara majoriti Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN