Tapak Perkhemahan Redup Rindu tarikan pelancongan

Tapak Perkhemahan Redup Rindu tarikan pelancongan baharu di Kampar

HARMANIAZIRA mendapat sokongan Pejabat Daerah dan Tanah Kampar dan Majlis Daerah Kampar (MDKpr) bagi memperkembangkan lagi bisnes tapak perkhemahannya yang mampu menjana pendapatan kasar sehingga RM3,500 sebulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Seorang wanita anak negeri berumur 39 tahun mencabar diri dengan menjadi salah seorang pengasas dan operator Tapak Perkhemahan Redup Rindu (RRC) yang mula mendapat sambutan di Jalan Sungai Gapes, di bawah pentadbiran Kampung Sahom, di sini sejak mula beroperasi pada 2024.

Menurut Harmaniazira Ishak, semuanya bermula dengan minatnya terhadap keindahan semula jadi selain perkampungan tersebut yang mempunyai keunikan tersendiri serta Sungai Dipang yang masih tidak tercemar.

“Saya seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan mempunyai tiga anak berumur 16 hingga enam tahun. Saya ingin memanfaatkan kawasan seluas 0.60 hektar ini sebagai tapak perkhemahan yang mendapat tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Syukur sejak mula dibuka pada 2024, beberapa buah universiti tempatan, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah ada yang mengadakan majlis perkahwinan, pertunangan dan akikah di sini kerana ia selesa serta boleh memuatkan sehingga 400 orang dalam satu masa,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, pendapatan kasar RRC boleh mencecah RM2,500 hingga RM3,500 sebulan dan lebih separuh daripada jumlah itu digunakan untuk menambah baik kemudahan tapak perkhemahan tersebut supaya pelanggan lebih selesa dan berpuas hati dengan kadar bayaran yang dikenakan.

“Saya tidak membuat sebarang pinjaman untuk memastikan kesinambungan operasi RRC. Sebaliknya, hasil pendapatan digunakan untuk kos operasi seperti menambah kemudahan surau untuk lelaki dan wanita, bilik air, tandas, tangki air, sinki dan palam elektrik.

“Kebanyakan barangan yang digunakan ialah barangan terpakai bagi menjimatkan kos tetapi masih berkualiti dan tahan lama setanding barangan baharu. Saya dibantu dua pekerja yang hanya bekerja sekiranya terdapat acara atau jumlah pelanggan yang ramai kerana perniagaan sebegini biasanya mendapat sambutan ketika cuti umum dan persekolahan,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 29 kawasan tapak perkhemahan disediakan dan mampu menampung pelanggan daripada semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India serta pelancong antarabangsa seperti dari Korea Selatan.

“Ibarat simbiosis, saya turut membuka peluang pekerjaan kepada Orang Asli sekitar kawasan ini dan penduduk kampung termasuk dalam perkhidmatan katering untuk tetamu yang hadir bagi program bermalam, kerja memotong rumput dan mengemas kawasan.

“Mereka boleh menjana pendapatan sampingan untuk diri sendiri dan keluarga selain melakukan pekerjaan hakiki yang lain,” katanya yang sedang dalam proses menyiapkan kafe untuk kemudahan pelanggan.

Usahanya itu mendapat bantuan dan sokongan Pejabat Daerah dan Tanah Kampar, Majlis Daerah Kampar (MDKpr) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Mohd. Azlan Helmi yang banyak membantu memperkembangkan RRC lengkap dengan kemudahan awam seperti jalan, jambatan, utiliti dan promosi secara berterusan.

Selain itu, dia turut mendapat bantuan geran berbentuk penganjuran program dan acara daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Festival Sewang@Perak bagi menonjolkan keunikan budaya warisan serta tarian sewang Orang Asli tempatan dalam suasana perkampungan dan alam semula jadi yang santai.

Kampung Sahom mempunyai lebih 20 aliran sungai dan kerajaan negeri Perak bakal mewujudkan kawasan tagal ikan di daerah Kampar sebagai tarikan baharu pelancongan berasaskan sungai selain membantu memelihara ekosistem serta populasi ikan di kawasan berkenaan.

Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Kampar yang terkenal dengan kawasan ekopelancongan, berpotensi untuk ditonjolkan dari segi kelainan, keunikan produk dan kepelbagaian budaya di lokasi tumpuan pelancongan yang dapat menjadi sumber tarikan pengunjung dan pelancong.

Inisiatif tersebut turut menepati Flagship Kelima Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat serta Flagship Kesepuluh Ekonomi Pengalaman yang menjadi tunjang kepada visi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemapanan dan kesejahteraan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini