CYBERJAYA: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan hampir RM90 juta bagi penempatan semula 56 keluarga peneroka Tanah Orang Asli Bukit Baja di Dengkil, Sepang.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, peruntukan itu melibatkan lebih 100 keluarga Orang Asli yang akan dipindahkan ke kawasan penempatan baharu seluas 8.8 ekar (3.52 hektar) di Cyber Valley.
Menurut beliau, setiap keluarga bakal menerima rumah percuma berkeluasan 1,000 kaki persegi selain sagu hati sebanyak RM100,000, bantuan perpindahan RM7,000 dan pampasan tanaman sehingga RM200,000 mengikut hasil pertanian yang diusahakan selama ini.
“Secara keseluruhan, nilai diterima setiap keluarga melebihi RM200,000 hingga RM300,000 termasuk pampasan tunai, pembinaan rumah dan pembangunan kemudahan kampung moden.
“Penilaian dibuat secara adil berdasarkan tempoh penduduk menetap dan kadar penerokaan tanah mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Cek kepada Pengusaha Tanah Penduduk Kampung Orang Asli Bukit Baja di sini, hari ini.
Menurut beliau, seramai 100 peneroka menerima bayaran pampasan bagi tanah dan tanaman yang diteroka dengan ada antara mereka memperoleh puluhan ribu ringgit hasil penilaian dibuat pihak PKNS.
Katanya, bayaran itu merupakan susulan kepada pembayaran awal sebanyak 10 peratus yang disalurkan kepada penduduk pada Januari lalu.
Katanya lagi, beberapa sesi penyerahan pampasan selebihnya akan dijalankan secara berperingkat selepas proses penilaian selesai sepenuhnya.
Selain itu, PKNS turut menyediakan sumbangan khas RM3 juta bagi Tabung Adat, Tabung Pendidikan dan Tabung Jawatankuasa Kampung bagi memperkukuh pembangunan sosial komuniti Orang Asli terbabit.
Borhan berkata, tabung pendidikan itu bertujuan membantu anak-anak Orang Asli melanjutkan pengajian termasuk ke institusi pengajian tinggi selain menampung keperluan pendidikan mereka.
“Kerajaan negeri mahu melihat komuniti Orang Asli ini menikmati kehidupan lebih tersusun dan selesa menerusi pembangunan sebuah perkampungan moden lengkap dengan kemudahan dewan, ruang pentadbiran, lot kedai dan kawasan komuniti,” katanya.
Tambahnya, penempatan baharu itu juga berpotensi dibangunkan sebagai kawasan pelancongan berasaskan budaya Orang Asli memandangkan lokasinya yang berhampiran Cyberjaya dan kawasan pembangunan bandar.
“Kita juga melihat potensi kawasan ini untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan berasaskan budaya orang asli pada masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerja pembinaan rumah dijangka bermula Julai ini dan mengambil masa kira-kira 18 bulan sebelum proses pemindahan penduduk dilaksanakan sepenuhnya. – UTUSAN










