JKKN giat usaha didik generasi muda hayati warisan budaya

JKKN giat usaha didik generasi muda hayati warisan budaya

ROSNAN Abdul Rahman (depan tengah) bergambar pada Forum Intelek Seni 2026 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus mempergiat usaha mendidik generasi muda mengenai warisan dan budaya menerusi penganjuran program ilmiah di institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Rosnan Abdul Rahman berkata, pendekatan sebegitu penting bagi memastikan ilmu berkaitan cara hidup, adat dan nilai masyarakat tidak terputus dalam kalangan generasi baharu.

Katanya, pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mampu membuka ruang kefahaman yang lebih mendalam terhadap identiti dan warisan negara, selain mengukuhkan rasa cintakan budaya sendiri.

“Program berbentuk ilmiah adalah medium kami di JKKN untuk mengetengahkan seni warisan dalam konteks seni budaya, adat resam dan sebagainya untuk diuar-uarkan.

“Seni budaya itu sendiri penting untuk kelangsungan generasi akan datang supaya kita kenal identiti jati diri masyarakat kita dan juga keharmonian perpaduan masyarakat di Malaysia, khususnya bila masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas program Intelek Seni 2026: Keindahan Ekologi Budaya di Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.

Program tersebut disertai kira-kira 500 pelajar dari UPM dan beberapa universiti kolaborasi lain termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Tambah Rosnan, program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dengan sambutan yang lebih memberangsangkan daripada masyarakat, khususnya golongan muda.

“Harapan saya supaya program berbentuk ilmiah seperti ini dapat diteruskan dan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat kita khususnya generasi baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah PKKSSAAS, Husalshah Rizal Hussian berkata, pihaknya menyambut baik kolaborasi bersama JKKN dalam menjayakan program berkenaan yang dilihat mampu memberi impak positif kepada mahasiswa.

Katanya, seni budaya tidak seharusnya dilihat hanya terbatas kepada persembahan seperti tarian dan lakonan, sebaliknya merangkumi aspek identiti, pemikiran dan nilai masyarakat.

“Ini merupakan salah satu program berkonsepkan seni budaya yang bagus, yang mana kita harapkan ada impak kepada para pelajar terutama tentang seni dan budaya.

“Kita mahu para pelajar universiti lebih celik seni budaya, itu yang penting sebenarnya. Jadi saya sangat mengharapkan kerjasama ini berterusan antara JKKN dan juga pihak UPM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN