Pasca DSA 2026: Malaysia sebagai pengimbang kuasa

Pasca DSA 2026: Malaysia sebagai pengimbang kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) oleh Malaysia bukan sekadar acara pertahanan berskala besar.

Ia membawa makna yang jauh lebih strategik, iaitu sebagai lambang kepada peranan strategik Malaysia yang semakin berkembang dalam diplomasi pertahanan, memperkukuh benteng keselamatan dan membina perlindungan baharu dalam menghadapi landskap ancaman yang semakin kompleks dan tidak menentu.

Asia hari ini sedang berdepan satu persekitaran strategik yang semakin meruncing, semakin dipacu teknologi dan semakin sarat dengan ancaman konvensional serta bukan konvensional. Rantau ini kini menjadi medan utama dalam percaturan kuasa besar, terutamanya melibatkan laluan kritikal.

Gangguan di Selat Hormuz telah membuka mata banyak pihak tentang betapa besar kuasa sesebuah negara dalam menguasai masa depan ekonomi global hanya dengan menguasai satu laluan perdagangan yang kritikal.

Keadaan ini secara langsung memaksa Amerika Syarikat (AS) memberi perhatian yang lebih besar kepada Selat Melaka dan Laut China Selatan, agar kesilapan strategik yang berlaku di Hormuz tidak berulang.

Di sinilah DSA menjadi sangat signifikan. Ia mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap keperluan mendapatkan jaminan pertahanan pelbagai penjuru, sama ada secara individu mahupun pelbagai hala.

Ia juga memperlihatkan keupayaan Malaysia memanfaatkan pendekatan tradisionalnya yang pragmatik, tangkas dan seimbang dalam menjalinkan hubungan yang luas dengan pelbagai rakan strategik utama.

Malaysia tidak lagi boleh dilihat sebagai pemerhati pasif terhadap perubahan kuasa dan ancaman serantau. Malaysia semakin tampil sebagai pemain yang berwibawa, pencetus dialog, penghubung kuasa dan pengimbang kuasa dalam bidang pertahanan, keselamatan maritim, industri serta wacana dasar.

Ini amat penting ketika Asia Tenggara kini ditekan dan dihimpit oleh persaingan maritim yang semakin sengit, grey zone coercion, ancaman siber, jenayah rentas sempadan, ancaman bio-kesihatan, keganasan, serta implikasi ketenteraan kecerdasan buatan dan sistem teknologi pertahanan baharu termasuk unmanned drones.

Kekuatan Malaysia terletak pada imej sejarahnya sebagai negara yang mengutamakan keseimbangan, dialog dan strategic neutrality, bukannya politik blok. Maka, penganjuran DSA 2026 membolehkan Malaysia mempamerkan tiga keupayaan penting secara serentak.

Pertama, kesungguhan negara dalam memodenkan aset dan jaminan pertahanan. Kedua, kerelevanan Malaysia sebagai jambatan diplomatik dan pengimbang kuasa.

Ketiga, keyakinan bahawa perbincangan keselamatan yang berpusatkan ASEAN masih penting, malah semakin bernilai dalam era persaingan kuasa besar yang semakin kompleks.

Dalam konteks ini, pendekatan Malaysia semakin jelas berasaskan tiga teras utama. Pertama, mengekalkan hubungan pertahanan konvensional yang terbukti membuahkan hasil, termasuk melalui Perjanjian Lima Kuasa Pertahanan (FPDA) dan pertalian pertahanan dengan kuasa besar termasuk AS.

Kedua, memperhebat usaha mempelbagaikan kerjasama dan pilihan sandaran pertahanan dengan pelbagai negara bagi mengisi jurang keupayaan sedia ada khususnya dalam sektor udara dan maritim.

Ketiga, memperkukuh keupayaan domestik dalam keseluruhan ekosistem pertahanan, terutama dalam peperangan masa hadapan seperti dron, sistem pemintas, siber dan pertahanan menyeluruh.

Namun persoalan besar bukanlah sama ada bajet pertahanan membeli lebih banyak aset fizikal semata-mata.

Soal utamanya ialah sama ada peruntukan tersebut benar-benar membina ekosistem pertahanan yang bersepadu, berdaya tahan dan berkekalan dalam menghadapi perubahan skop dan strategi ancaman dan ketenteraan.

Strategik Pertahanan
Peruntukan RM21.74 bilion bagi pertahanan bagi 2026 menunjukkan bahawa Malaysia sedang berusaha memulihkan kesiapsiagaan sambil meneruskan pemodenan angkatan tentera.

Tetapi semua ini hanya akan bermakna jika ia diiringi oleh penyelenggaraan kitar hayat dalam negara, pemindahan teknologi, kerjasama industri, tadbir urus yang baik dan pengurusan yang berkesan.

Di sinilah DSA 2026 berpotensi menjadi landasan pelancaran yang sebenar kepada industri pertahanan tempatan. Ia bukan sekadar pentas pameran aset, tetapi ruang untuk memberi keterlihatan, akses pasaran dan peluang rangkaian kepada syarikat Malaysia termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula dan pemain teknologi tempatan.

Malaysia mesti memastikan syarikat-syarikat tempatan tidak sekadar menjadi subkontraktor sementara, tetapi diangkat sebagai rakan teknologi dengan keupayaan khusus yang boleh dibuktikan di peringkat antarabangsa.

Negara mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang seperti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), elektronik, integrasi sistem, dron, keselamatan siber, simulasi, sistem sokongan khusus dan teknologi maritim terpilih.

DSA membuka peluang untuk semua ini diketengahkan kepada delegasi, rangkaian perolehan dan pengeluar utama dari puluhan negara. Peluang sebenar bukan hanya menjual produk, tetapi membina perkongsian, pembangunan bersama dan kedudukan jangka panjang dalam rantaian nilai global.

DSA juga mesti difahami sebagai platform untuk memperkukuh solidariti ASEAN. Malaysia boleh menggunakan DSA untuk menonjolkan model penglibatan strategik yang inklusif tanpa terperangkap dalam penjajaran ideologi.

Kelebihan Malaysia selama ini ialah keupayaannya membawa jalan tengah, berinteraksi dengan semua kuasa utama, mengelakkan keterikatan kepada mana-mana satu pihak, dan memastikan proses ASEAN kekal hidup sebagai mekanisme penstabil serantau.

Cabaran ini memang sukar, apatah lagi dalam suasana syak wasangka yang semakin memuncak dan perlumbaan senjata yang juga memperhebat dilema keselamatan. Namun nilai sebenar Malaysia sebagai kuasa pertengahan yang matang dan pragmatik telah sekian lama menjadi sandaran.

Kekuatan DSA tidak harus hanya diukur melalui kontrak dan perkakasan. Nilainya yang lebih besar terletak pada pembangunan generasi baharu profesional pertahanan, veteran dan inovator tempatan.

DSA mesti membantu membina saluran bakat, memberi pendedahan kepada jurutera muda dan firma teknologi tempatan, serta memastikan veteran terus dimanfaatkan sebagai modal insan strategik negara.

Sebuah ekosistem pertahanan yang serius memerlukan juruteknik, operator, jurulatih, pakar logistik dan profesional keselamatan yang berpengalaman untuk terus kekal dalam sistem nasional walaupun selepas tamat perkhidmatan aktif.

Malaysia perlu melihat pertahanan bukan sekadar sebagai soal pembelian aset, tetapi sebagai keupayaan nasional menyeluruh yang dibina atas pengekalan bakat, pengukuhan industri domestik dan pemerkasaan generasi muda dalam sektor strategik.

Jika ini dapat dilakukan, DSA 2026 bukan sahaja menjadi pameran pertahanan terbesar di rantau ini, tetapi juga simbol bahawa Malaysia sedang muncul sebagai suara strategik yang lebih berani, lebih matang dan lebih penting dalam membentuk masa depan keselamatan serantau. – UTUSAN

COLLINS Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN