Malaysia mampu terlibat rantaian bekalan aset pertahanan global

Malaysia mampu terlibat rantaian bekalan aset pertahanan global

ANWAR Ibrahim melawat ke ruang pameran DSA2026 & NATSEC2026 diiringi Mohamed Khaled Nordin di MITEC, Kuala Lumpur. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai keupayaan untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan senjata dan produk pertahanan global.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia mempunyai kekuatannya sendiri terutama dalam menghasilkan dan membangunkan sistem teknologi maklumat (ICT).

Menurut beliau, sudah ada syarikat-syarikat tempatan yang menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan produk pertahanan global.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cakap mengenai kapal terbang, itu CTRM (CTRM Aero Composites Sdn. Bhd.) daripada Melaka, jadi sebenarnya sesetengah daripada mereka (syarikat tempatan sudah menjadi sebahagian rantaian bekalan global).

“Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai potensi untuk menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global. Bukan menghasilkan aset tetapi komponen-komponen dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pameran Perkhidmatan Pertahanan ASIA (DSA) & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) 2026 di sini, semalam selepas merasmikan pavilion Kementerian Pertahanan.

Sementara itu, Anwar berkata, dasar berkecuali Malaysia meletakkan negara ini sebagai rakan yang dipercayai kepada syarikat pertahanan dan aeroangkasa global yang ingin mengelakkan komplikasi politik yang semakin mempengaruhi keputusan sumber perolehan.

Oleh itu, Perdana Menteri menyeru pemain industri pertahanan, termasuk kontraktor utama dan pembekal Tahap Satu (Tier One), supaya memanfaatkan asas pembuatan berketepatan tinggi Malaysia ketika ketegangan geopolitik terus membentuk semula rantaian bekalan global.

Mohamed Khaled berkata, sudah banyak syarikat tempatan sudah mula tampil kedepan dan menonjolkan keupayaan mereka untuk bersaing di peringkat global.

Kata beliau, ia selepas kerajaan memperkenalkan dasar yang menetapkan syarat pembabitan sekurang-kurangnya 30 peratus syarikat serta kandungan tempatan dalam setiap perolehan pertahanan melalui Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

“Jadi syarikat-syarikat berasa yakin bahawa produk mereka yang telah diinovasikan atau mereka hasilkan sendiri akan diambil kira. Walaupun jumlah syarikat Malaysia kurang sedikit (penyertaan dalam DSA & NATSEC 2026) berbanding kali terakhir tetapi kita percaya sekarang kebanyakan syarikat adalah terdiri dari mereka yang menghasilkan beberapa komponen.

“Kita ada syarikat yang hasilkan peluru dan suar. Kita juga ada syarikat yang yakin mencadangkan kepada kerajaan untuk menghasilkan meriam artileri 105mm kita sendiri. Jadi semua ini kita sedang lihat,” katanya.

Tambahnya, perkembangan itu merupakan satu petanda baik dan kerajaan sedang memantau rapat kerana ia selaras dengan DIPN yang dibangunkan untuk Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN