PETALING JAYA: Kesemua 345 institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mendapat cuti tambahan bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan bersama Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Mara untuk turut memberikan satu hari cuti tambahan bersempena Hari Raya Aidilfitri kepada semua 345 Institusi Pendidikan Mara. Kenyataan rasmi daripada Mara akan menyusul,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan satu hari cuti tambahan, pada 18 Mac kepada semua sekolah di seluruh negara bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
KPM dalam kenyataan sama memaklumkan, pemberian cuti tambahan itu bertujuan memberi ruang kepada guru, murid dan ibu bapa membuat persiapan sewajarnya bagi menyambut Aidilfitri dalam suasana yang teratur. – UTUSAN










