MELAKA: Seramai 166 anggota trafik digerakkan bagi memantau dan mengawal keadaan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan pengguna jalan raya sempena sambutan Aidilfitri di negeri ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, sebanyak 10 lokasi hotspot dan tujuh lokasi blackspot telah dikenal pasti di seluruh Melaka dengan tumpuan di pintu masuk tol serta kawasan bandar.
Menurutnya, dalam tempoh tersebut, dianggarkan antara 300,000 hingga 400,000 kenderaan akan memasuki Melaka sepanjang cuti Aidilfitri ini.
Katanya, tahap kesesakan trafik dijangka di Bandar Melaka, bulatan Simpang Ampat berhampiran Plaza Tol dan laluan utama menuju Plaza Tol Ayer Keroh.
“Polis turut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan di kawasan perumahan dan kampung, khususnya apabila ramai penduduk pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Kami juga akan melaksanakan Op Lancar Aidilfitri, fasa pertama akan dilaksanakan dari 18 hingga 20 Mac manakala fasa kedua pada 27 hingga 29 Mac. Selain itu, Op Selamat 26 akan berlangsung dari 19 hingga 24 Mac,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program Ronda Santai Panjut Pelita Bersama Ketua Polis Melaka di Balai Polis Batang Tiga, Klebang, di sini, pagi tadi.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, kes jenayah indeks di negeri ini mencatatkan sebanyak 318 kes bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, meningkat sembilan kes atau 2.9 peratus berbanding tempoh sama tahun 2025.
Menurutnya, jenayah kekerasan turut mencatatkan peningkatan apabila 67 kes direkodkan tahun lalu, meningkat empat kes atau 6.3 peratus, dipengaruhi oleh kes rogol dan mendatangkan cedera parah.
“Bagaimanapun, kes samun tanpa senjata api menunjukkan penurunan dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Beliau berkata bagi jenayah harta benda pula, sebanyak 251 kes direkodkan berbanding 246 kes pada tahun lalu, meningkat lima kes atau kira-kira 20 peratus.
Katanya, peningkatan itu disumbangkan terutamanya oleh kes curi serta curi motosikal, manakala kes pecah rumah menunjukkan penurunan. – UTUSAN










