ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Aidilfitri RM1,000 kepada semua penjawat awam negeri yang dibayar Jumaat ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bantuan tersebut akan dinikmati kira-kira 5,600 orang.
“Bantuan hari raya untuk semua kakitangan awam ini akan masuk pada 13 Mac bersama gaji. Bantuan itu kita janji RM1,000 untuk semua kakitangan awam yang melibatkan kos kewangan RM5.6 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri turut mengagihkan bantuan kepada 2,480 pengerusi dan setiausaha Majlis Ketua Kampung (MKK) melibatkan kos RM496,000. – UTUSAN










