Pearly-Thinaah teruskan momentum ke separuh akhir

Pearly-Thinaah teruskan momentum ke separuh akhir

PEARLY Tan-M. Thinaah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah terus mengekalkan momentum kemenangan selepas mengesahkan slot separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Tremblay-en-France, Perancis, hari ini.

Pasangan No. 4 dunia yang diletakkan sebagai pilihan kedua itu menewaskan gandingan No. 9 dunia, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria 21-12, 21-15 dalam masa 39 minit.

Kejayaan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah semakin menjarakkan rekod pertemuan ke atas adik beradik Stoeva menjadi 5-1.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pearly-Thinaah yang mara ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut selepas menjuarai Terbuka Denmark, minggu lalu, akan menghitung pertemuan dengan beregu No. 5 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun.

Bagaimanapun di sebalik kemenangan yang dicatat Pearly-Thinaah, status kecergasan Pearly yang sebelum ini dibelenggu isu kecederaan belakang dikhuatiri berulang selepas melihat pemain itu kelihatan sedikit bergelut dan kerap memegang bahagian belakangnya.

Namun begitu, dalam temu bual bersama wakil BWF, Pearly tidak pula menyatakan masalah kecederaannya itu dan sebaliknya melahirkan rasa gembira sekali lagi berjaya ke separuh akhir.

“Saya gembira, kami banyak berbincang di antara satu sama lain. Cuma pada hujung permainan kami agak kurang sabar.

“Selepas dilanda masalah kecederaan, kami kini mendapat balik momentum dan menikmati kembali permainan terbaik kami,” katanya.

Thinaah pula berkata, menjelang pertemuan dengan Iwanaga-Nakanishi, esok, dia berharap dapat berehat dan melakukan proses pemulihan secukupnya.

“Saya harap kami dapat bersedia baik dari segi fizikal serta mental dan penting untuk berehat sebanyak yang boleh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini