PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan yang komited dan bertanggungjawab menjalankan amanah ketika sambutan Aidilfitri.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menyanjung tinggi pengorbanan mereka yang masih tetap bertugas demi memastikan keamanan, ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat terpelihara walaupun masyarakat lain meraikan lebaran bersama keluarga masing-masing.
Sultan Ibrahim turut mendoakan agar semua anggota pasukan keselamatan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan tugas.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku.
Sementara itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan nasihat kepada rakyat supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya, khususnya semasa pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.
Sultan Ibrahim bertitah agar semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan lalu lintas, menjaga keselamatan diri serta tidak tergesa-gesa ketika memandu demi mengelakkan kejadian tidak diingini. – UTUSAN










