PARLIMEN: RM184.4 juta untuk anjur Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

PARLIMEN: RM184.4 juta untuk anjur Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memperuntukkan RM184.4 juta bagi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang kemuncak berkaitan yang telah berlangsung di ibu negara pada 26 hingga 28 Oktober lalu.

Menteri Luar, Datuk Mohamad Hasan berkata, perbelanjaan itu dilaksanakan mengikut tatakelola kewangan semasa dengan langkah penjimatan optimum bagi memastikan penganjuran berprestij itu berjalan lancar.

“Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini telah menghoskan Sidang Kemuncak yang dihadiri oleh pemimpin-pemimpin utama dunia seperti Presiden Amerika Syarikat, Presiden Brazil, Presiden Afrika Selatan serta pemimpin-pemimpin ASEAN lain.

“Untuk makluman dewan yang mulia ini, kos penganjuran Sidang-sidang Kemuncak ini adalah selaras dengan kelulusan dan mengikut ketetapan anggaran perbelanjaan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

“Secara keseluruhan anggaran kos penganjuran Sidang-sidang Kemuncak ini berjumlah RM184.4 juta. Dari segi logistik, persiapan telah bermula sejak awal tahun ini,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung kos penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta langkah koordinasi keselamatan bagi menjamin keselamatan semua peserta.

Mohamad berkata, antara elemen utama yang dititikberatkan dalam penganjuran kali ini ialah aturan protokol, pengurusan keselamatan dan kesejahteraan awam di semua lokasi persidangan serta hotel penginapan yang menempatkan delegasi.

Katanya, elemen berkenaan diberi penekanan khusus bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur sekali gus menjamin keselamatan serta keselesaan Ketua-ketua Negara dan Kerajaan bersama delegasi semasa berada di Malaysia.

“Aspek keselamatan dan kelancaran pergerakan delegasi diselaraskan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN) bersama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan.

“Dalam memastikan kelancaran penganjuran, KLN telah bekerjasama rapat dengan Kedutaan-kedutaan negara yang terlibat di Kuala Lumpur bagi mengenal pasti serta menyelaras keperluan logistik Ketua-ketua Negara dan Kerajaan serta delegasi masing-masing.

“Ini termasuk penyelarasan keperluan melibatkan Tatacara Pengendalian Piawai, keselamatan dan protokol yang berbeza antara setiap negara yang terlibat,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 telah berjalan dengan lancar hasil daripada persiapan rapi, penyelarasan yang mantap serta komitmen padu oleh semua Kementerian dan agensi yang terlibat.

“Penganjuran yang tersusun ini turut menerima pujian daripada negara-negara serantau dan komuniti antarabangsa, mencerminkan tahap kesiapsiagaan Malaysia dalam menganjurkan Sidang Kemuncak terbesar ini.

“Kementerian yakin kejayaan ini akan terus mengangkat profil serta martabat negara di persada antarabangsa,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN