KUALA LUMPUR: Hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, Suhaizan Kaiat (PH – Pulai) meminta Perdana Menteri menyatakan manfaat yang diperoleh hasil pertemuan dengan Trump dalam aspek perdagangan serta isu kemanusiaan di Gaza dan bidang strategik lain yang berkepentingan bersama Malaysia – AS.
Pada sesi sama, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Bebas – Kuala Kangsar) juga membangkitkan persoalan kepada Perdana Menteri berhubung kemajuan kerajaan Madani dalam menangani isu kemiskinan tegar dan kemiskinan secara keseluruhan.
Pada sesi soal jawab pula, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN – Kuala Kedah) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan indikator penilaian keberkesanan pelaksanaan modul seperti Parenting at Work dan program pembangunan keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi mengurangkan risiko penderaan terhadap lelaki.
Ahmad Fakhruddin juga meminta Menteri memberikan statistik terperinci mangsa lelaki dalam kes keganasan rumah tangga dari tahun 2022 hingga kini.
Sementara itu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN – Kuala Terengganu) meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan hasil dan inisiatif utama daripada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 dalam mengukuhkan eksport semikonduktor, penyertaan dalam rantaian nilai serantau dan daya saing teknologi tempatan.
Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN – Jelebu) turut mengajukan soalan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sama ada kerajaan bakal mewajibkan pembinaan kemudahan seperti sekolah dan pusat asuhan kanak-kanak sebagai syarat kelulusan pembinaan projek perumahan berskala besar pada masa akan datang.
Selepas sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar oleh kementerian berkaitan. Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini. – UTUSAN










