KUALA LUMPUR: Video aksi spontan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menari sehingga meraih hampir satu bilion tontonan dalam media sosial merupakan publisiti percuma buat Malaysia.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, ia secara tidak langsung memperkenalkan negara ke seluruh pelosok dunia sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
“Video Trump berjoget berjaya meraih hampir satu bilion tontonan dan ia merupakan publisiti percuma ketika negara bakal menerima kehadiran pelancong dari seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar ‘I Lite U’ di Pavilion, di sini hari ini.
Baru-baru ini, aksi Trump selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 mencuri tumpuan apabila beliau dengan santai menari mengikut rentak persembahan penari.
Aksi berkenaan mengundang sorakan dan tepukan gemuruh dan beliau yang diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian turut mengibarkan bendera Malaysia dan AS. – UTUSAN










