PERSIDANGAN ASEAN 2025 memperlihatkan semangat baharu dalam hubungan serantau apabila Malaysia memegang tampuk pengerusi ASEAN kali ke-47 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerjasama harus menjadi teras hubungan serantau dan global, bukan paksaan atau konfrontasi.
Menurut beliau, ASEAN mesti kekal berpegang kepada prinsip dalam mempertahankan ‘multilateralisme’ serta undang-undang antarabangsa walaupun berdepan tekanan geopolitik dan ketidaktentuan global yang semakin meruncing supaya rantau ini terus menjadi zon aman, stabil dan makmur.
Pandangan ini turut menzahirkan pendekatan Islam yang menolak permusuhan serta menyeru kepada musyawarah, keadilan dan keharmonian sejagat.
Arah Tuju ASEAN 2025
Dokumen ASEAN 2025: Forging Ahead Together menggariskan visi besar untuk membina komuniti yang bersatu, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat.
Fokus utama meliputi integrasi ekonomi yang lebih mantap, pembangunan sosial seimbang, serta kerjasama rentas sektor bagi menghadapi cabaran teknologi, iklim dan keselamatan serantau.
Malaysia sebagai pengerusi mempunyai peluang strategik untuk menampilkan kepimpinan berasaskan nilai, bukan semata-mata kuasa ekonomi atau politik.
Inklusiviti menuntut setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat pembangunan tanpa diskriminasi, manakala kelestarian menuntut pemeliharaan sumber dan alam supaya kesejahteraan tidak menindas generasi masa depan.
Konsep ini amat seiring dengan prinsip “rahmatan lil ‘alamin” yang menjadi tunjang ajaran Islam iaitu kesejahteraan bukan sahaja untuk umat Islam tetapi untuk seluruh manusia dan alam.
Islam
Islam mengiktiraf kepelbagaian manusia sebagai rahmat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal”. (Surah al-Hujurat: 13)
Perbezaan bangsa dan latar budaya menjadi asas kepada kerjasama, bukan persengketaan. Prinsip ini menjadi dasar bagi pembentukan komuniti antarabangsa yang adil dan saling menghormati.
Semangat inklusif inilah yang perlu diangkat dalam konteks ASEAN 2025 iaitu melalui kerjasama ekonomi tidak boleh mengabaikan dimensi kemanusiaan, sosial dan moral.
Dalam tradisi Islam, konsep al-‘adl (keadilan) dan al-musawah (kesamarataan) menjadi asas kepada kesejahteraan sosial. Pembangunan mesti menegakkan keseimbangan antara kemajuan material dan nilai rohani.
Apabila ASEAN menekankan keperluan untuk pembangunan yang inklusif, bermakna secara tidak langsung menepati maqasid al-syariah yang menuntut pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta bagi semua manusia.
Kelestarian
Kelestarian bukan hanya isu ekologi, tetapi juga tanggungjawab moral terhadap ciptaan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah Allah memperbaikinya”. (Surah al-A‘raf: 56)
Kemajuan tanpa kawalan akan membawa kehancuran terhadap keseimbangan bumi. Strategi ASEAN ke arah tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau yang sedang digerakkan mencerminkan keinsafan kolektif untuk menjaga alam.
Malaysia berpeluang menjadi peneraju dalam memperkukuh ekonomi rendah karbon dan teknologi lestari selaras dengan semangat “khalifah fil ardh” iaitu manusia sebagai penjaga bumi.
Dalam Islam, kelestarian juga berkait rapat dengan prinsip wasatiyyah iaitu kesederhanaan. Konsep ini menuntut supaya pembangunan tidak bersifat tamak, tidak mengaut keuntungan berlebihan dan tidak menzalimi golongan lemah.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ditanya tentang empat perkara: Umurnya, ilmunya, hartanya, dan tubuh badannya ke mana digunakan”. (Riwayat al-Tirmizi)
Hadis tersebut membina kesedaran bahawa setiap tindakan manusia, termasuk dasar pembangunan, terikat kepada tanggungjawab moral.
Negara-negara ASEAN perlu menilai dasar ekonomi dan sosial dari sudut kemaslahatan jangka panjang, bukan keuntungan jangka pendek semata-mata.
Diplomasi
Konflik global, ketidaktentuan ekonomi, serta isu kemiskinan dan migrasi menuntut ASEAN menjadi model kerjasama yang matang. Islam menekankan pentingnya solidariti dan keadilan antarabangsa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan”. (Surah al-Ma’idah: 2)
Kerjasama antarabangsa yang berteraskan nilai kebajikan akan menghasilkan keamanan sejati. ASEAN perlu menjadi platform penyelesaian, bukan pertikaian.
Malaysia sebagai negara majoriti Islam berperanan menonjolkan diplomasi yang beretika dan berperikemanusiaan, termasuk dalam isu kemanusiaan serantau seperti Rohingya dan konflik di Selatan Thailand.
Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kekuatan ASEAN terletak pada perpaduan dan kebijaksanaan kolektif, bukan dominasi kuasa besar. Kenyataan ini selaras dengan konsep syura yang menjadi asas pemerintahan Islam iaitu keputusan dibuat melalui musyawarah dan konsensus, bukan paksaan.
Maqasid al-Syariah
Maqasid al-Syariah menuntut keseimbangan antara hak individu dan kepentingan awam. Prinsip hifz al-nafs (memelihara nyawa) dan hifz al-mal (memelihara harta) menuntut sistem ekonomi yang adil, menghapus kemiskinan dan menjamin peluang saksama.
ASEAN 2025 memberi ruang besar untuk memperkukuh agenda pengurangan jurang ekonomi melalui inovasi digital, latihan keusahawanan dan integrasi tenaga kerja serantau.
Inisiatif ini wajar disandarkan pada nilai ihsan iaitu melakukan kebaikan bukan kerana keuntungan, tetapi kerana tanggungjawab. Setiap dasar yang mengutamakan manusia dan alam selaras dengan maqasid al-syariah yang berorientasikan maslahah (kepentingan umum).
Prinsip keadilan, kerjasama dan kesejahteraan yang ditekankan seiring dengan nilai Islam yang menyeru kepada keseimbangan serta tanggungjawab sejagat.
Malaysia sebagai pengerusi memiliki tanggungjawab moral untuk menzahirkan kepimpinan berasaskan nilai, bukan retorik semata-mata.
Nilai-nilai Islam seperti rahmah, ihsan, amanah dan wasatiyyah harus menjadi tunjang kepada semua dasar serantau agar kemajuan tidak menindas manusia mahupun merosakkan bumi.
Apabila ASEAN menghayati nilai-nilai ini, rantau ini berpotensi menjadi contoh kepada dunia bahawa kemakmuran boleh dicapai tanpa mengorbankan keadilan dan kemanusiaan.
Kejayaan sebenar ASEAN 2025 terletak pada sejauh mana ia mampu menterjemahkan semangat inklusiviti dan kelestarian kepada kesejahteraan nyata bagi rakyat.
Islam telah meletakkan asas kukuh bagi kesejahteraan sejagat, maka segala usaha ke arah pembangunan bersepadu perlu berakar daripada nilai iman, etika dan tanggungjawab terhadap Pencipta. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Azri Bhari ialah pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).
DR. Nik Airin Aqmar Nik Azhar ialah Lulusan Doktor Falsafah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM) & Lulusan Sarjana Muda Shariah Universiti al-Azhar Mesir.










