TAWAU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melaksanakan empat jadual penggiliran bekalan elektrik di daerah ini berikutan kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan salah satu menara penghantaran talian 275KV Kolopis-Segaliud tumbang berhampiran Kampung Sarapung, Penampang, Sabtu lalu.
SESB dalam kenyataan memaklumkan, jadual penggiliran berkenaan berkuatkuasa semalam dan anggaran masa bagi pembekalan elektrik adalah selama tiga jam bagi setiap giliran.
“Giliran 1 adalah pada pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi dan 12 tengah hari hingga 3 petang Giliran 2 dari 3 pagi hingga 6 pagi dan 3 petang hingga 6 petang.
“Giliran 3 pula dari 6 pagi hingga 9 pagi dan 6 petang hingga 9 malam, dan Giliran 4 (9 pagi hingga 12 tengah hari dan 9 malam hingga 12 tengah malam),” katanya.
Bagaimanapun, anggaran masa dan tempoh pembekalan elektrik berkenaan bergantung pada sistem rangkaian di Tawau pada waktu itu.
Daerah yang turut menghadapi gangguan bekalan elektrik adalah Sandakan, Kunak, Lahad Datu dan Semporna.
SESB memaklumkan pengguna terjejas boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui talian Hotline 15444 atau 088-515000, selain talian 019-8525427 atau layari Facebook rasmi Sabah Electricity Careline. – UTUSAN










