Petugas SESB jadi Unsung Heroes, pulihkan bekalan elektrik Pantai Timur Sabah

Petugas SESB jadi Unsung Heroes, pulihkan bekalan elektrik Pantai Timur Sabah

PETUGAS SESB bertungkus-lumus menyiapkan kerja memulihkan talian penghantaran grid Pantai Timur Sabah meskipun dalam keadaan cuaca tidak menentu. - IHSAN SESB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Usaha tanpa mengenal penat lelah pasukan teknikal Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) berjaya memulihkan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah yang terputus sejak lima hari lalu dan menjejaskan kira-kira 230,000 pengguna.

Talian penghantaran 275kV KLPS–SGLD (Line 1) dipulihkan semula sepenuhnya pada pukul 8.10 malam tadi melibatkan penduduk di enam daerah iaitu Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Beluran dan Kinabatangan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan di Facebook, menzahirkan penghargaan kepada semua petugas SESB yang berkorban masa, tenaga dan keselamatan demi memastikan bekalan kembali pulih.

“Pengorbanan dan penat lelah pasukan teknikal serta staf Sabah Electricity yang bertungkus-lumus tanpa mengira siang dan malam membuahkan hasil apabila talian penghantaran 275kV KLPS–SGLD (Line 1) berjaya disambung semula pada pukul 8.10 malam.

“Sandakan Island telah berjaya disambungkan kembali ke sistem grid Sabah. Ini kejayaan besar hasil komitmen, kepakaran dan semangat juang luar biasa pasukan anda,” katanya.

Sementara itu, SESB dalam kenyataan memberitahu, pemulihan bekalan akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan kestabilan sistem dan keselamatan operasi. Pasukan teknikal kini memantau rapi proses pemulihan selain mengurus penghantaran tenaga ke seluruh kawasan terjejas.

“Terima kasih kepada semua petugas di lapangan, barisan pengurusan serta pasukan sokongan di belakang tabir. Kami juga menghargai sokongan padu pengguna, Kerajaan Negeri Sabah dan Lembaga Pengarah SESB sepanjang tempoh mencabar ini,” jelas SESB.

Bagaimanapun, tragedi turut mewarnai operasi pemulihan ini apabila seorang juruteknik SESB, Masdeh Rosmin, 35, dari Kampung Bingkor, Keningau, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika menjalankan tugas.

Sehubungan itu, SESB menyeru orang ramai agar mendoakan keselamatan Masdeh dan memohon kerjasama pengguna yang masih mengalami gangguan untuk menghubungi talian 15444 atau aplikasi mudah alih Sabah Electricity bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Hasil kerjasama erat semua pihak membuktikan komitmen dalam memastikan rakyat Sabah terus mendapat bekalan elektrik yang selamat dan mampan,” tambah SESB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN