TAWAU: Penduduk di kawasan Pantai Timur Sabah menarik nafas lega selepas bekalan elektrik kembali pulih secara berperingkat selepas lima hari bergelap susulan kejadian tanah runtuh yang menumbangkan salah satu menara penghantaran utama, Sabtu lalu.
Insiden tanah runtuh berhampiran Kampung Sarapung, Penampang, menyebabkan talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud tumbang dan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik di beberapa daerah Pantai Timur termasuk Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Beluran.
Bagi penduduk, tempoh lima hari tanpa bekalan elektrik memberi cabaran besar terhadap kehidupan harian.
Seorang penduduk di Beluran, Awang Jamaluddin Abdul Rahman, 38, berkata, ketiadaan bekalan elektrik membuatkan keluarganya bergantung sepenuhnya pada lampu solar.
“Sepanjang lima hari, kami hanya bertahan dengan menggunakan lampu solar sahaja untuk aktiviti harian di rumah. Telefon bimbit pun tidak dapat dicas sehingga susah untuk berhubung.
“Selama ini kami di sini tidak pernah terputus bekalan elektrik dalam tempoh yang lama. Biasanya dua hari sahaja.
“Tapi syukur sekarang bekalan elektrik sudah baik, terima kasih kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kerana bertungkus-lumus bekerja 24 jam untuk baiki menara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Seorang lagi penduduk di Lahad Datu, Noor Hanifah Aboud Ghafar, 32, berkata, ketiadaan bekalan elektrik pada waktu malam menyukarkan dia dan keluarga untuk tidur dengan lena.
“Waktu malam memang susah tidur sebab panas, anak kecil pula asyik merengek. Terpaksa saya kipas anak guna tangan supaya dia boleh tidur lena.
“Tapi syukur kami hadapi masalah ini tiga hari sahaja. Selepas itu, bekalan elektrik pulih sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Penolong Ketua Penerangan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop, berkata, insiden yang berlaku itu jelas menunjukkan keperluan kerajaan mempercepat pelaksanaan Projek Second Loop Transmission (Tenom–Kalabakan–Tawau) dan pembangunan Independent Power Plant (IPP) di Pantai Timur.
Katanya, pengalaman terputus bekalan lebih 15 jam turut memberi kesan besar kepada masyarakat setempat.
“Saya sendiri merasai kesusahan ini apabila kawasan tempat tinggal turut terputus bekalan lebih 15 jam.
“Ramai penduduk mengeluh kerana terpaksa mengadakan majlis kahwin dan akikah dalam keadaan bergelap, malah seorang rakan terpaksa menguruskan jenazah ibunya tanpa bantuan elektrik.Peniaga pula menanggung kerugian kerana operasi mereka lumpuh,” jelasnya.
Dalam perkembangan terbaharu, SESB berjaya menyambungkan semula talian 275kV Kolopis-Segaliud, sekaligus memulihkan bekalan elektrik ke kawasan Pantai Timur Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, bekalan elektrik akan dipulihkan secara berperingkat mengikut kawasan bagi melihat kestabilan sistem dan keselamatan operasi.
“Pasukan kami sedang memantau dengan teliti dan menyelaras penghantaran tenaga supaya setiap kawasan menerima bekalan secepat mungkin tanpa menjejaskan keutamaan keselamatan.
“Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama pasukan teknikal di lapangan, barisan pengurusan serta warga kerja di belakang tabir yang menyelaras operasi di pejabat dan kawasan,” katanya.
SESB turut menghargai sokongan padu pengguna di seluruh Sabah, Kerajaan Negeri Sabah dan Lembaga Pengarah SESB.
“Terima kasih atas kesabaran dan sokongan anda sepanjang tempoh yang mencabar ini. Mohon terus doakan usaha pencarian rakan kami yang dihanyutkan arus deras ketika melaksanakan tugasan di Keningau,” jelasnya. – UTUSAN










