Siti Khadijah bangga Zarra, Aghniny raih anugerah FFM35 - Utusan Malaysia

Siti Khadijah bangga Zarra, Aghniny raih anugerah FFM35

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemenangan pelakon remaja, Zarra Zhaf dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik serta pengiktirafan aktres Indonesia, Aghniny Haque menerusi Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) mengundang persoalan segelintir pihak.

Bagaimanapun, pelakon Siti Khadijah yang turut membintangi filem Khadam bersama kedua-dua pelakon itu berpendapat, kemenangan mereka sememangnya berlandaskan bakat dan kemampuan lakonan yang dimiliki.

Menurut Siti Khadijah, Aghniny layak menerima pengiktirafan berkenaan kerana mutu lakonannya yang cemerlang dalam filem tersebut, tanpa mengambil kira status kewarganegaraannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tahu perkara ini sensitif kerana kita mengiktiraf Aghniny. Namun, saya rasa dia memang wajar menerima anugerah itu berdasarkan bakatnya.

“Kita ketepikan soal kewarganegaraan kerana bakatnya memang tidak dapat dinafikan, sangat bagus dalam Khadam,” katanya.

Mengulas kemenangan Zarra pula, Siti Khadijah menyifatkan pelakon muda itu memiliki kematangan luar biasa, sekali gus membuktikan keupayaannya bersaing dalam kategori berkenaan.

Katanya, pengalaman bekerja bersama Zarra membolehkan dia melihat sendiri keistimewaan pelakon itu yang mempunyai kematangan melebihi usia sebenar.

“Untuk Zarra juga, saya rasa mungkin tahun ini berbeza sedikit dari segi had umur.

“Dia memang tidak dinafikan seorang pelakon yang sangat bagus. Saya bekerja dengan dia dan dia tidak seperti kanak-kanak sebaya dengannya.

“Dia seperti sebaya saya. Kematangannya dalam lakonan, cara dia melafazkan dialog dan berborak dengan orang dewasa memang berbeza.

“Jadi, apabila Zarra berada dalam kategori itu dan menang, saya sendiri bangga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Siti Khadijah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran UTV Nusantara dan lagu Janji Untuk Setia di Waldorf Astoria Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, Siti Khadijah turut mengingatkan orang ramai agar tidak mempertikaikan rezeki yang sudah ditentukan, sebaliknya menerima setiap kejayaan dengan hati terbuka.

“ Saya cuma nak cakap satu sahaja, kita makan nasi pun boleh jatuh daripada mulut.

“Jadi, rezeki itu akan datang tepat pada masanya. Kalau rezeki Zarra sudah tertulis, itulah rezekinya.

“Kalau rezeki orang lain, mungkin lain kali. Jadi, kalau boleh, jangan pertikaikan soal rezeki kerana yang datang, baik atau buruk, semuanya daripada Yang Esa, Allah,” ujarnya.

Untuk rekod, filem Khadam yang dibintangi Aghniny, Zarra dan Siti Khadijah turut dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM35.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini