TAWAU: Bekalan elektrik di beberapa kawasan di Pantai Timur Sabah kembali pulih secara berperingkat sejak semalam.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berkata, bekalan elektrik di Kunak dan beberapa kawasan di Lahad Datu sudah dipulihkan.
“Di Semporna, bekalan turut pulih membabitkan Stesen Pam Minyak Buraq Oil, Kampung Sri Melor dan kawasan sekitarnya.
“Di Tawau, kawasan yang pulih termasuk Jalan Kampung Tinagat, Kampung Batu Payung, QL Farm, Jalan Apas Parit, Sekolah Kebangsaan Batu Payung, Sekolah Kebangsaan Kinabutan Besar dan sekitarnya,”katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya.
Semalam, beberapa daerah di Pantai Timur Sabah mengalami gangguan bekalan elektrik susulan kerosakan talian penghantaran 275kV Kolopis-Segaliud membabitkan talian 1 dan 2 pada 5.05 petang.
SESB memaklumkan, daerah yang terjejas termasuk Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan, Kunak, Semporna, Beluran dan Tawau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee turut memaklumkan beberapa kawasan di Sandakan berdepan gangguan elektrik yang berlarutan sehingga 13 jam.
“Belum terima maklum balas terkini daripada Sabah Electricity,” katanya di Facebook miliknya. – UTUSAN










