JERANTUT: Sudahlah tinggal di rumah uzur, sepasang suami isteri dari Felda Kota Gelanggi Dua di sini, berdepan pula kekangan kewangan untuk menyediakan sambungan bekalan elektrik dan pemasangan paip air di rumah mereka.
Pasangan yang mempunyai lima anak itu memerlukan wang kira-kira RM5,000 untuk pemasangan meter elektrik dan air.
Nurul Wahida Kamarudin, 42, berkata, permohonan mereka bagi memasang bekalan itu telah diluluskan selepas Felda membuat keputusan membenarkan penyaluran bekalan elektrik ke rumah kedua dalam satu lot tanah rancangan.
“Saya berterima kasih kepada pengurusan Felda kerana meluluskan pemasangan bekalan ini tetapi masih tidak mempunyai wang untuk menyediakan kemudahan tersebut. Sehingga kini, saya terpaksa berhutang RM1,500 untuk penyambungan bekalan elektrik tetapi masih tidak mencukupi malah terdesak memperoleh wang untuk menyambung bekalan air.
“Mana mampu kerana kami cuma bekerja sebagai penangkap ikan di sungai kawasan Felda ini, bertanam ubi kayu dan mencari sumber hutan cuma memperoleh pendapatan cuma kira-kira RM600 sebulan. Pendapatan itu hanya mampu menampung belanja barang keperluan dapur dan persekolahan anak,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, semalam.
Menurut Wahida, suaminya, Mohd. Nazrul Mat Zain, 45, tidak mampu bekerja berat kerana mengalami penyakit jantung serius dengan hanya membantunya menangkap ikan dan menjual hasil kampung di kawasan Felda itu.
“Kami juga berdepan masalah kewangan apabila dua orang anak, Nurul Syafiera, 15, dan Nurul Aisyah, 6, mengalami masalah injap jantung yang memerlukan rawatan berkala di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan Institut Jantung Negara (IJN).
“Saya kerap menangguhkan pemeriksaan dan rawatan kedua anak ini kerana tidak mampu,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga membina sebuah rumah di belakang rumah ibu bapanya sejak 13 tahun lalu dengan bekalan elektrik dan air berkongsi dengan dengan rumah ahli keluarganya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghubungi Nurul Wahida menerusi talian 0134715273 atau terus ke akaun Maybank (Nurul Wahida) bernombor 156141469872. – UTUSAN











