SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan memerlukan kira-kira RM50,000 untuk menampung kos pembedahan jantungnya yang dijadualkan awal Januari depan.
Putra Ahmad Anaqi Mohammad Ikhwan menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir dan keadaan kesihatannya kini semakin membimbangkan serta memerlukan pembedahan segera.
Ibunya, Nor Syafiqah Ahmad, 29, berkata, dia buntu memikirkan jumlah itu kerana pendapatan suaminya, Mohamad Ikhwan Mahathir, 33, sebagai operator kilang hanya cukup untuk menampung kehidupan harian mereka.
“Kami diberitahu lubang yang terdapat pada jantung anak semakin membesar dan saluran pernafasannya mula sempit serta dinasihatkan segera menyediakan wang untuk menjalani pembedahan yang telah ditetapkan pada awal Januari nanti.
“Selain alahan kepada cuaca panas, suhu badan anak bongsu saya akan tinggi hingga menyebabkan dia demam berpanjangan, mudah penat serta warna kulit bertukar kebiru-biruan,” katanya ketika ditemui di Taman Sejahtera Rakyat, Sungai Toh Pawang, Bedong, semalam.
Katanya, selain tiga lagi anak berusia enam, 10 dan 13 tahun, mereka juga menjaga bapa dan seorang adik berstatus orang kurang upaya (OKU) sehingga menyukarkan aktiviti menabung untuk membiayai kos pembedahan itu.
Nor Syafiqah berkata, dia dan suami juga telah banyak berhabis wang untuk berulang alik membawa Putra Ahmad Anaqi mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), sebelum ini.
“Demi nyawa anak, saya merayu agar sesiapa yang dapat membantu untuk menyumbang bagi mengumpulkan dana RM50,000 itu agar pembedahan dapat dibuat seperti yang dijadualkan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menderma boleh menghubungi Nor Syafiqah di talian 013-8770124 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0219041100006815 miliknya. – UTUSAN











