Isu babi: Kerajaan perlu ambil serius nasihat Sultan Selangor

Isu babi: Kerajaan perlu ambil serius nasihat Sultan Selangor

AHMAD YUNUS HAIRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor perlu memberi perhatian sewajarnya terhadap teguran serta nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu babi demi menjaga kepentingan agama, rakyat dan alam sekitar.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, pandangan baginda mengenai isu tersebut mengambil kira keadaan tanah di Selangor yang terhad untuk pembangunan serta kebimbangan terhadap pencemaran udara dan sistem saliran.

Katanya, titah ucapan baginda sebelum ini turut menekankan bahawa setiap teguran, nasihat, pandangan dan cadangan bukan bertujuan mencampuri urusan kerajaan negeri, sebaliknya bagi memastikan kepentingan agama dan rakyat dijaga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya kira pengalaman 25 tahun menjadi Sultan Selangor dan lebih 30 tahun sebagai Raja Muda, setiap apa yang baginda tegur, nasihat dan pandangan sudah tentu dengan penuh kebijaksanaan.

“Teguran dan nasihat berkenaan isu babi di negeri Selangor, saya kira penuh dengan kebijaksanaan Tuanku dalam keadaan tanah di Selangor yang terhad untuk tujuan pembangunan, pencemaran udara dan sistem saliran. Kerajaan harus memberi perhatian yang sewajarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, kerajaan Selangor sedang menyiasat kemasukan babi hidup dari Sarawak melalui Pelabuhan Klang sejak Julai lalu bagi mengenal pasti destinasi sebenar ternakan itu sebelum menentukan tindakan susulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sebahagian ternakan berkenaan hanya transit di Selangor sebelum dihantar ke negeri lain.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Ir. Izham Hashim memaklumkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bahawa lesen import telah diluluskan, termasuk bagi ternakan hidup dari Sarawak dengan anggaran sekitar 800 ekor seminggu.

Bagaimanapun, beliau berkata, ternakan itu tidak dibenarkan singgah di mana-mana lokasi dan perlu dihantar terus ke pusat sembelihan di Rawang.

Mengulas dakwaan kemasukan sebanyak 3,200 ekor babi hidup ke Selangor setiap bulan sejak Julai lalu, Ahmad Yunus berkata, destinasi, lokasi penempatan sementara serta pusat penyembelihan haiwan berkenaan perlu dijelaskan.

Beliau turut mempersoalkan keperluan membawa masuk babi hidup bagi memenuhi ke­perluan masyarakat bukan Islam di Selangor, sedangkan baginda mencadangkan agar hanya bekalan daging babi dibawa masuk.

“Mungkin isu kemasukan babi hidup yang besar jumlahnya melalui Pelabuhan Klang adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat, tetapi beberapa persoalan menjadi tanda tanya rakyat.

“Ke manakah babi-babi ini akan dibawa? Di manakah penempatan sementara dan pusat penyembelihannya? Bagaimana pelupusan dan pengurusan najisnya?” soalnya.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus turut mempersoalkan mengapa Singapura tidak mengimport terus dari negeri atau negara pengeksport sekiranya kemasukan babi hidup itu bertujuan memenuhi keperluan republik berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini