Harga minyak mentah berpotensi kekal tinggi hingga 2027 - Utusan Malaysia

Harga minyak mentah berpotensi kekal tinggi hingga 2027

HARGA minyak mentah dijangka tinggi sehingga tahun depan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah global berpotensi kekal tinggi sehingga akhir tahun ini dan mungkin berlanjutan hingga 2027, sekali gus boleh mendorong peningkatan kos tenaga yang pastinya menjejaskan pelbagai sektor lain.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan ini perlu diambil kira oleh pembuat dasar, khususnya dalam merancang perbelanjaan subsidi bahan api.

Katanya, kerajaan juga telah meningkatkan perbelanjaan subsidi bahan api Malaysia daripada RM15 bilion tahun ini kepada RM40 bilion dalam Belanjawan 2027, menjadikan senario ini perlu diberi perhatian sekiranya konflik di Asia Barat berpanjangan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Campur tangan kuasa utama dunia mungkin diperlukan sekiranya keadaan semakin meruncing. Kerajaan di seluruh dunia mempunyai kekangan fiskal, terutama apabila peningkatan kos tenaga turut menjejaskan sektor dan kumpulan masyarakat lain.

“Sekiranya konflik berlarutan, kesannya boleh merebak kepada masalah lain, termasuk tekanan sosial seperti yang pernah berlaku di Eropah susulan peningkatan kos sara hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sehingga lewat petang semalam, minyak mentah Brent naik 0.33 peratus kepada AS$116.2 (RM474.86) setong, manakala penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) meningkat 0.34 peratus kepada AS$102.1 (RM417.24) setong.

Mohd Afzanizam berkata, peningkatan harga minyak mentah ketika ini didorong oleh konflik di Asia Barat, khususnya membabitkan Iran, selain penutupan Selat Hormuz.

Menurutnya, perkembangan terbaharu di Arab Saudi susulan serangan kumpulan Houthi turut menjejaskan fasiliti sektor minyak di Laut Merah, termasuk saluran paip Timur-Barat yang dilaporkan menjadi sasaran serangan sejak awal September hingga kini.

“Situasi ini boleh menggugat bekalan bahan api global. Kebimbangan terhadap gangguan bekalan itu menjadi antara faktor yang mendorong harga minyak mentah Brent meningkat.

“Kita masih belum dapat memastikan bila konflik ini akan berakhir, namun terdapat risiko ia berpanjangan kerana setiap pihak mempunyai kepentingan masing-masing. Jaringan konflik yang meluas turut meningkatkan risiko kesannya merebak ke seluruh rantau Teluk,” ujarnya.

Beliau berkata, kenaikan harga bahan api akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan dengan ketara, khususnya bagi menampung subsidi.

“Beban ini mungkin lebih besar berbanding manfaat yang diperoleh daripada peningkatan harga minyak.

“Oleh itu, pendekatan subsidi yang lebih bersasar mungkin perlu dipertimbangkan kerana subsidi bahan api melibatkan keseluruhan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, pelaksanaannya perlu mengambil kira keadaan semasa dan kesannya terhadap rakyat.

“Kita perlu berwaspada terhadap risiko masalah bekalan bahan api pada tahun depan sekiranya konflik di Asia Barat terus berpanjangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini