Trump dakwa Houthi cuba naikkan harga minyak

Trump dakwa Houthi cuba naikkan harga minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa kumpulan pemberontak Houthi di Yemen sengaja meningkatkan siri serangan ke atas infrastruktur di Arab Saudi untuk memacu kenaikan harga tenaga menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS.

Trump menyifatkan tindakan Houthi sangat melampau dan mengulangi ancaman AS mungkin melancarkan serangan ketenteraan yang lebih agresif di seluruh Asia Barat selepas pilihan raya pada November ini.

“Mereka (Houthi) lama berdiam diri, namun kini kembali muncul mungkin atas arahan Iran, sebuah negara gagal tanpa tentera laut, tanpa tentera udara, ekonomi terburuk di dunia dan kadar inflasi 301 peratus dengan cara yang sangat jahat dengan menyerang Arab Saudi dan sengaja cuba menaikkan harga minyak, berkemungkinan menjelang pilihan raya AS,” kata Trump menerusi hantaran di Truth Social.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan Trump untuk melancarkan perang terhadap Iran bersama Israel pada Februari lalu mendorong lonjakan harga tenaga serta menjejaskan kos sara hidup di AS.

Keadaan itu berlaku ketika pengundi bakal menentukan sama ada Parti Republikan pimpinan Trump mampu mengekalkan penguasaan di Dewan Perwakilan dan Senat.

Parti Demokrat dijangka memanfaatkan ketidakpopularan Trump serta kegelisahan pengundi terhadap isu kos sara hidup dan perang tersebut untuk merampas kawalan sekurang-kurangnya satu daripada dewan Kongres.

Langkah itu akan membolehkan mereka menyekat agenda perundangan Trump sepanjang baki pentadbirannya.

Trump turut menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali melupakan serangan Houthi ke atas Arab Saudi, sekali gus memberi bayangan tindakan ketenteraan susulan selepas pilihan raya pertengahan penggal yang secara meluas dianggap sebagai referendum terhadap penggal keduanya.

“Seseorang perlu menjelaskan kepada mereka (Houthi) bahawa saya tidak bertanding dalam pilihan raya ini, saya telah pun menang dengan KEMENANGAN BESAR, tetapi saya tetap berada di sini selepas pilihan raya dan tidak akan sesekali melupakannya!” katanya.

Keputusan tinjauan pendapat menunjukkan perang dilancarkan Trump terhadap Iran mendapat tentangan meluas dengan tinjauan terbaharu AP-NORC mendapati hampir 70 peratus pengundi berpendapat perang berkenaan tidak wajar diteruskan.

Bagaimanapun, Trump menolak dapatan tinjauan pendapat itu sebagai palsu dan merujuk kepada perhimpunan politiknya yang sentiasa dibanjiri penyokong sebagai bukti popularitinya. -ALJAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini