Arab Saudi bergelut lindungi aset strategik daripada Houthi

Arab Saudi bergelut lindungi aset strategik daripada Houthi

API marak di sebuah kemudahan milik syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco di selatan Riyadh dalam serangan pada 3 Oktober lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi masih bergelut melindungi aset strategik seperti lapangan terbang dan kilang penapisan minyak daripada serangan peluru berpandu serta dron Houthi, meskipun membelanjakan puluhan bilion dolar untuk pertahanan setiap tahun.

Pasukan Pertahanan Udara Arab Saudi juga kini memikul tanggungjawab berat meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi melindungi ruang udara di sekitar tempat suci yang sering dikunjungi umat Islam di Mekah dan Madinah.

Walaupun memperoleh sistem persenjataan canggih dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah serta memiliki pertahanan udara berlapis-lapis, kerajaan itu berdepan serangan maut yang mengorbankan 14 orang di lapangan terbang utama di ibu negara Riyadh, sepanjang minggu lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Arab Saudi membelanjakan AS$83 bilion (RM338.8 bilion) untuk pertahanan tahun lalu, sekali gus meletakkannya dalam kelompok 10 negara dengan perbelanjaan ketenteraan tertinggi di dunia. 

Negara itu memiliki jet pejuang buatan AS, sistem pertahanan udara Patriot dan THAAD, selain pelbagai persenjataan canggih dari Perancis dan United Kingdom (UK).

Namun, Arab Saudi mempunyai kawasan yang luas untuk dilindungi, dengan saiz kira-kira satu perlima daripada keluasan AS dan ancaman yang datang dari tiga arah.

Dari timur, Iran melancarkan lebih 1,000 peluru berpandu dan dron ke arah sasaran di Arab Saudi ketika konflik tahun ini mencapai tahap paling sengit. 

Dari utara, kumpulan yang disokong Iran di Iraq menghantar dron untuk menyerang saluran paip minyak Timur-Barat yang penting kepada negara itu. 

Dari selatan pula, pemberontak Houthi yang disokong Iran melancarkan peluru berpandu ke arah Arab Saudi dari tempat perlindungan dan pelancar mudah alih di kawasan pegunungan Yemen.

Tindakan meningkatkan ketegangan menerusi serangan udara yang lebih hebat juga berisiko menjejaskan hasrat Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman untuk menjadikan Arab Saudi destinasi bertaraf dunia bagi pelaburan, teknologi dan pelancongan.

Beberapa syarikat besar dilaporkan menarik diri daripada Kongres Petroleum Dunia yang berlangsung di Riyadh minggu ini.

Pada masa sama, Arab Saudi sedang berusaha menggerakkan gabungan antarabangsa untuk menentang Houthi. 

Sekutu serantau menawarkan bantuan dalam bentuk sistem pertahanan, manakala Pakistan menghantar ribuan anggota tentera bagi membantu mempertahankan kerajaan itu. Mesir pula menawarkan apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan.

Arab Saudi juga mungkin memperoleh lebih banyak sistem pertahanan udara dari Eropah dan AS selepas bekalan yang dihantar pada awal konflik dengan Iran semakin berkurangan.

Dengan pilihan raya pertengahan penggal AS berbaki tiga minggu, Presiden Donald Trump juga dilihat berhati-hati untuk terlibat dalam satu lagi konflik di Asia Barat, malah belum memberikan komitmen jelas berhubung kemungkinan serangan langsung terhadap Houthi.

“Keengganan AS untuk campur tangan mengukuhkan tanggapan Washington meninggalkan sekutunya ketika mereka paling memerlukan bantuan.

“Kerajaan Arab Saudi sedang diserang dan dari sudut politik, ia perlu bertindak balas. Namun, akhirnya kita harus menjangkakan diplomasi akan kembali menjadi pilihan, namun dalam versi yang tidak sempurna dan tidak memuaskan, tetapi tetap mampu meredakan konflik.

“Keadaan itu mungkin menyebabkan Houthi terus bertapak dan muncul dengan kedudukan yang lebih kukuh di Yemen,” kata  bekas Duta Besar AS ke Riyadh, Michael Ratney.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini