LONDON: Penyerang Bayern Munich dan England, Harry Kane dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or 2026 selepas mengharungi musim cemerlang dengan membuktikan dirinya antara penjaring gol terbaik dunia.
Kane menjadi pemain England pertama dalam tempoh 25 tahun memenangi anugerah berprestij itu, selepas Michael Owen merangkul terpilih pada 2001.
Kapten England itu meledak 61 gol dalam 51 penampilan bersama Bayern merentasi semua pertandingan, sekali gus membantu kelab Jerman itu melengkapkan kejuaraan berganda domestik menerusi gelaran liga dan piala.
Persaingan merebut anugerah tahun ini turut sengit dengan Kylian Mbappe mencipta rekod jaringan Piala Dunia, manakala Lamine Yamal membantu Sepanyol menjulang trofi berkenaan.
Pada September lalu, dia turut mencipta rekod sebagai pemain terpantas mencapai 100 gol Bundesliga apabila melakukannya dalam penampilan liga ke-98 bersama Bayern.
Kane juga pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Tottenham Hotspur dengan 280 gol, selain penjaring terbanyak England dengan 91 gol serta pemain England paling prolifik dalam Liga Juara-Juara dengan 58 jaringan.
“Saya merasakan kemampuan membuat hantaran, visi dan pemahaman permainan sudah ada sepanjang karier, tetapi semuanya semakin berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya sejak saya berada di Bayern,” kata Kane.
Jurulatih Bayern, Vincent Kompany memuji kebolehan Kane, termasuk keupayaan mencipta peluang menerusi hantaran, etika kerja serta kebijaksanaannya membaca permainan.
“Untuk menggabungkan aspek permainan itu dengan jumlah gol yang dimilikinya, dia perlu membantu pasukan bergerak ke hadapan dan pada masa sama berada di dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol. Itu bukan sesuatu yang mudah,” katanya. – AGENSI/UTUSAN











