LONDON: Kapten England Harry Kane mengintai peluang mengejar rekod jaringan antarabangsa milik Cristiano Ronaldo selepas meledak dua gol ketika membantu England menewaskan Republik Czech 3-0 dalam Liga Negara-Negara di Wembley, semalam.
Jaringan berkenaan hadir ketika Kane menyamai rekod 125 penampilan England milik legenda penjaga gol, Peter Shilton sekali gus menjadikan perlawanan berkenaan lebih bermakna buat penyerang berbisa The Three Lions itu.
Penyerang Bayern Munich itu kini mengumpul 91 gol antarabangsa, namun masih ketinggalan 55 gol di belakang Ronaldo yang memegang rekod dunia dengan 146 jaringan bersama skuad kebangsaan Portugal.
“Kita lihat sejauh mana kita boleh pergi. Kita bermula dengan lebih 50 gol. Ia masih terlalu jauh buat masa ini, tetapi siapa tahu?. Saya berada dalam keadaan yang sangat baik untuk menjaringkan gol ketika ini,” kata Kane.
Pemain berusia 33 tahun itu turut memberi bayangan dia belum mempunyai rancangan untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa, sambil menegaskan segala-galanya bergantung kepada kemampuannya membantu pasukan.
“Saya pernah katakana sebelum ini, ada pemain yang pernah beraksi dengan saya mampu bermain hingga lewat 30-an dan masih berada di tahap tertinggi, malah ada yang mencecah sehingga usia 40-an.
“Bagi saya, ia bergantung satu musim ke satu musim. Selagi saya rasa saya boleh membantu pasukan, saya akan terus berada di sini untuk menajamkan jentera serangan, di kelab atau pasukan kebangsaan,” katanya.
Menurut Kane, menyamai rekod penampilan Shilton adalah sesuatu yang tidak pernah dibayangkannya ketika mula membuat penampilan sulung bersama England 11 tahun lalu. – AGENSI/UTUSAN
CAPTION
Penyerang England, Harry Kane meraikan gol ketiga pasukannya menentang Republik Czech dalam saingan Liga Negara-Negara di Stadium Wembley, London, semalam. – AFP











