Kane enggan gantung but buat England

Kane enggan gantung but buat England

HARRY Kane meraikan jaringan kedua England menerusi sepakan penalti ketika menentang Croatia dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, di Stadium Wembley, London. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Harry Kane belum terfikir untuk menggantung but bersama England, sebaliknya bertekad terus menyarung jersi skuad Three Lions selagi mampu beraksi pada tahap tertinggi, biarpun baru sahaja mencipta rekod penampilan terbanyak dalam sejarah pasukan itu.

Kapten England berusia 33 tahun itu bahkan tidak menolak kemungkinan meneruskan karier antarabangsanya sehingga usia 40 tahun, dengan menjadikan pemain veteran Croatia, Luka Modric sebagai inspirasi untuk terus mencabar kemampuan diri.

Kane menyuarakan hasrat itu selepas mencipta sejarah dengan melakukan penampilan ke-126 ketika membantu England menewaskan Croatia 2-1 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA Stadium Wembley, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut penyerang Bayern Munich itu, kemampuan Modric yang masih mampu beraksi pada usia 41 tahun membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk seseorang pemain terus bersaing pada peringkat tertinggi.

“Dia memberi inspirasi kepada saya untuk terus menguji kemampuan diri. Sepertinya, kita perlu terus bermain untuk melihat sejauh mana tubuh dan mental mampu bertahan.

“Perjalanan setiap pemain berbeza, tetapi selagi saya merasakan mampu membantu pasukan kebangsaan dan masih beraksi pada tahap tertinggi, saya akan terus berada di sini selagi termampu.

“Sama ada sehingga usia 40 tahun atau tidak, kita perlu tunggu dan lihat. Namun, buat masa ini saya menikmati setiap detik,” katanya.

Kane kini muncul sebagai pemain lelaki paling banyak membuat penampilan bersama England selepas memintas rekod 125 perlawanan yang sebelum ini dipegang bekas penjaga gol, Peter Shilton.

Malam bersejarah itu bertambah manis apabila Kane menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan skuad kendalian Thomas Tuchel menewaskan Croatia, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA pada Mac depan.

Sebelum sepak mula, Kane menerima penghormatan khas daripada Shilton dan penaung Persatuan Bola Sepak England (FA), Putera William, selain diraikan menerusi sepanduk gergasi bertulis ‘England’s Finest’.

Pemenang Ballon d’Or 2026 itu turut mempamerkan trofi berprestij berkenaan kepada penyokong di Wembley selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia bulan lalu.

Kane kini mengumpul 92 gol antarabangsa, sekali gus terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman England.

Skuad Three Lions seterusnya akan berdepan Sepanyol di Madrid pada Ahad ini dalam aksi terakhir Kumpulan A3 bagi menentukan kedudukan teratas kumpulan. – AGENSI 

KAPSYEN

HARRY Kane meraikan jaringan kedua England menerusi sepakan penalti ketika menentang Croatia dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, di Stadium Wembley, London. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini