Bersatu patut keluar PN

Bersatu patut keluar PN

TUAN Ibrahim Tuan Man ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya mengambil pendirian keluar dan menarik diri daripada Perikatan Nasional (PN) selepas tindak-tanduknya dilihat hanya melemahkan gabungan parti ber­kenaan.

Situasi itu termasuklah de­ngan tindakan Bersatu membuat aduan kepada Jabatan Pendafta­ran Pertubuhan (RoS) se­hingga pendaftaran PN dibatalkan jaba­tan berkenaan.

Ketidakhadiran Bersatu da­lam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN berkaitan PRN Melaka yang diadakan kelmarin juga menun­jukkan parti itu seolah-olah eng­gan kekal di dalam gabu­ngan parti tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Bersatu kini perlu memberi penjelasan berhubung beberapa tindakannya yang bercanggah dengan Perlembagaan PN sehingga membawa masalah kepada gabungan berkenaan.

“Mereka perlu jawab dan ka­­mi ikut proses. Kami akan panggil untuk mereka beri pe­nerangan kepada Majlis Tertinggi mengenai tindakan-tindakan mereka yang bercanggah de­ngan Perlembagaan PN. Ini tindakan yang merugikan PN.

“Lebih baik Bersatu menarik diri daripada PN. Mereka yang membuat aduan kepada RoS, tetapi sekarang mereka pula bersedih apabila RoS membatalkan pendaftaran PN,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN akan memulakan tindakan disiplin ke atas Bersatu susulan me­lakukan tindakan bertentangan kepentingan gabungan itu.

Katanya, tindakan disiplin itu dibuat mengikut Fasal 15 perlembagaan gabungan itu dengan notis akan dikemukakan dalam tempoh terdekat.

Tambah beliau, ketetapan tindakan disiplin terhadap Bersatu boleh sama ada membawa kepada hukuman diberi amaran, digantung atau dipecat daripada PN.

Namun sebelum itu katanya, Bersatu diberi suatu tempoh untuk memberi penjelasan berhubung segala pertuduhan dikemukakan kepada mereka.

Bagaimanapun sebagai re­aksi, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan keputusan tersebut dan mendakwa Bersatu tidak me­lakukan kesalahan yang bertentangan dengan kepen­tingan PN.

RoS sebelum ini memba­talkan pendaftaran PN susulan aduan daripada Bersatu namun pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Bersatu juga perlu tegas dengan pendirian dan menentukan pihak yang mahu disokong kerana tidak-tanduk parti terbabit dilihat tidak konsisten.

Ujar beliau, setiap keputusan berkaitan kerjasama dan sokongan politik mestilah di­buat secara bersama melalui perbincangan dan mesyuarat.

“Contohnya apa yang berlaku di Perlis, Tan Sri Muhyiddin semasa beliau Pengerusi PN, takkan tidak boleh panggil mesyuarat, beritahulah kami.

“Hendak tukar (Menteri Besar) daripada Pas kepada Bersatu ini besar sebab Bersatu hanya ada lima (ADUN) tiba-tiba mereka buat SD (akuan bersumpah), kemudian mereka boleh sokong. Jika hendak buat keputusan, mesti bawa ke mesyuarat.

“Di Pahang, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu sign SD sokong UMNO. Saya lihat Bersatu tidak tahu mereka hendak pergi mana. Jadi Bersatu kena lebih tegas de­ngan keputusan mereka, hendak sokong siapa dan hendak pergi ke mana,” ujarnya.

Tambahnya, perkara sama turut berlaku di Negeri Sembilan apabila dua ADUN menarik balik SD yang dibuat sebelum ini.

“Sudah ambil SD, tiba-tiba dua orang ADUN mereka tarik balik SD. Kalau mereka tak tarik balik, tidak boleh pilihan raya pun di Negeri Sembilan itu, berlaku peralihan begitu saja. Jadi oleh kerana tarik balik, keadaan tidak menentu, terpaksa buat pilihan raya,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata, Bersatu tidak akan dilibatkan dalam pembentukan gabungan baharu sekiranya pergantungan PN diteruskan.

“Sebenarnya tidak perlulah, kecuali mereka bertaubat nasuha. Kalau dia tak bertaubat nasuha mungkin mereka tidak jejak. Sebab kalau kita jemput kawan ini, kita kena duduk bersama, berunding bersama, buat keputusan bersama untuk kebaikan bersama,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini