PETALING JAYA: Pasangan yang menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) tidak perlu terlalu bimbang mengenai risiko anak dilahirkan dengan kekurangan fizikal atau mental kerana perkara itu tidak semestinya berpunca daripada rawatan berkenaan.
Tengku Ampuan Pahang bertitah, daripada 159 anak yang dilahirkan menerusi Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), hanya dua mengalami autisme dan seorang lagi autisme ringan.
“Saya nenek kepada 159 anak-anak IVF daripada itu, mungkin ada dua autistik dan seorang ‘mild’ austistik. Tolong jangan fikir kalau buat IVF, boleh dapat anak yang kurang upaya kerana yang tidak buat IVF pun dapat juga anak OKU,” titah baginda pada majlis anjuran Alpha IVF Group, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Alpha IVF Group menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kadar persenyawaan tertinggi menerusi kaedah suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI), iaitu sebanyak 84.4 peratus.
Turut hadir, Pengarah Urusan Alpha IVF Group Berhad, Datuk Dr. Colin Lee, Pengarah Saintifik Alpha IVF Group Berhad, Adelle Lim Yun Xin, Perintis kehamilan IVF Pertama Malaysia, Dr. Haris Hamzah dan Ketua Eksekutif, Malaysia Book of Records Christopher Wong.
Titah baginda, pasangan yang menginginkan cahaya mata tidak harus berputus asa mendapatkan rawatan kesuburan, selain tidak berasa malu mendapatkan bantuan melalui saluran yang betul.
“Lelaki perlu bekerjasama dengan isteri kerana mereka mungkin turut mempunyai masalah kesuburan,” titah baginda.
Mengenai pencapaian Alpha IVF Group, Tunku Azizah bertitah, peratusan kejayaan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan tetapi apa yang lebih penting adalah keupayaan untuk membantu wanita dan lelaki bergelar ibu dan ayah.
Baginda turut berkongsi pengalaman menjalani rawatan IVF sebanyak 17 kali sebelum dikurniakan cahaya mata dan mengingatkan pasangan supaya bersabar dan tabah menghadapi perjalanan rawatan kesuburan yang memerlukan kekuatan serta sokongan bersama.
“Saya tidak pernah berputus asa, sebaliknya terus berdoa kerana Allah SWT pasti mendengar doa saya.
“Daripada enam putera dan puteri, empat daripada IVF, manakala anak bongsu hadir secara semula jadi,” titah baginda. – UTUSAN











