TNB labur RM43b perkukuh Grid Nasional hingga 2027 - Utusan Malaysia

TNB labur RM43b perkukuh Grid Nasional hingga 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperuntukkan pelaburan RM43 bilion bagi tempoh 2025 hingga 2027 untuk memperkukuh dan memodenkan Grid Nasional, sekali gus memastikan sistem bekalan elektrik negara mampu memenuhi peningkatan permintaan tenaga.

Daripada jumlah itu, sejumlah RM15 bilion adalah bagi pengukuhan Grid Nasional seperti yang diberi penekanan kerajaan menerusi Belanjawan 2027, sejajar usaha meningkatkan keupayaan infrastruktur tenaga negara bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

TNB berkata, pengukuhan Grid Nasional menjadi antara keutamaan bagi memastikan bekalan elektrik negara kekal stabil dan berdaya harap.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, langkah itu khususnya ketika permintaan tenaga terus meningkat seiring perkembangan sektor ekonomi digital dan teknologi.

TNB berkata, pertumbuhan pesat sektor pusat data dan kecerdasan buatan (AI) turut meningkatkan keperluan terhadap infrastruktur tenaga yang berupaya membekalkan elektrik secara stabil bagi menyokong operasi industri berkenaan.

“Grid adalah nadi utama elektrik dalam memastikan bekalan yang berdaya harap dan seterusnya menjana ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, TNB terus memperkukuh perancangan dan pembangunan grid bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik pelanggan industri, termasuk pusat data berskala besar.

Menerusi inisiatif Green Lane Pathway, syarikat utiliti itu turut menyokong usaha memperkemas dan mempercepat proses pembangunan infrastruktur bekalan elektrik bagi projek pusat data.

Pada masa sama, penyelesaian tenaga hijau seperti Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan Green Electricity Tariff (GET) menyediakan pilihan kepada industri untuk memenuhi keperluan penggunaan tenaga boleh baharu.

Selain memperkukuh infrastruktur domestik, TNB akan terus berperanan dalam pembangunan Grid Kuasa ASEAN (APG) bagi meningkatkan keterhubungan tenaga rentas sempadan.

TNB berkata, pengukuhan APG berpotensi menyokong perkongsian sumber tenaga antara negara ASEAN, meningkatkan fleksibiliti sistem serta memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga di rantau ini.

Dalam perkembangan berkaitan, TNB turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi menjayakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke arah mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Usaha itu termasuk pelaburan bagi meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu menerusi pembangunan projek solar berskala besar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) serta Hydro Life Extension Programme (HLEP).

TNB turut komited berperanan aktif bagi menyokong aspirasi Malaysia mencapai 70 peratus kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu menjelang 2050.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Shamsul Ahmad, berkata keutamaan adalah memastikan setiap rumah menikmati bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap, selain menyediakan akses tenaga diperlukan perniagaan untuk berkembang.

“Sebagai penyedia utiliti elektrik negara, TNB menerima tanggungjawab ini dengan penuh amanah.

“Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan untuk memastikan pembangunan sistem tenaga negara memberi manfaat kepada rakyat, menyokong pertumbuhan ekonomi dan mewariskan masa depan yang lebih mampan kepada generasi akan datang,” katanya.

TNB turut menyambut baik inisiatif Belanjawan 2027 yang memberi penekanan kepada perlindungan pengguna domestik, termasuk peluasan aras perlindungan bil elektrik daripada 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan sehingga 31 Disember ini.

Inisiatif yang diumumkan pada 17 September lalu itu dijangka memanfaatkan lebih lapan juta pengguna domestik atau sehingga 90 peratus daripada keseluruhan pengguna domestik di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini