Lebih RM356 juta perkasa komuniti India

Lebih RM356 juta perkasa komuniti India

RAMANAN Ramakrishnan dalam usaha memperkasa komuniti India melalui pelbagai program pembiayaan dan pembangunan keusahawanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memperuntukan lebih RM356 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, bagi memperkasa komuniti India melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, peruntukan itu yang disalurkan melalui pelbagai program pembiayaan dan pembangunan keusahawanan telah memberi manfaat kepada hampir 9,000 usahawan India di seluruh negara.

Beliau berkata, inisiatif itu turut direalisasikan dengan kerjasama agensi seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Malah katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut melaksanakan sembilan inisiatif khas sejak 2024 hingga pertengahan tahun ini bagi memperkasa komuniti berkenaan.

“Inisiatif berimpak tinggi itu melibatkan aspek pembiayaan, pembangunan kapasiti, latihan, pemerkasaan koperasi serta sesi libat urus bersama masyarakat bagi memastikan tiada komuniti terpinggir dalam agenda ekonomi negara.

“Sejak diberikan amanah dan kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya telah memimpin pelaksanaan pelbagai inisiatif melalui KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya untuk memperkasakan ekonomi komuniti India.

“Perdana Menteri turut menyarankan agar lebih banyak inisiatif dirancang khusus bagi meningkatkan penyertaan ekonomi golongan ini secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ramanan berkata, pelaksanaan inisiatif-inisiatif itu bukan sekadar angka di atas kertas, namun ia bukti kesungguhan kerajaan MADANI yang sentiasa mendengar dan bertindak terhadap keperluan rakyat termasuk komuniti India.

“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan India berjaya, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang secara aktif kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Kata Ramanan, usaha pemerkasaan ini bukan sekadar retorik politik, kerana ia sedang giat dilaksanakan dengan hasil yang boleh diukur serta dipantau secara berterusan.

Beliau turut memberi jaminan sistem penyampaian akan diperkemaskan dan beberapa lagi inisiatif baharu sedang dalam penilaian untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Saya komited untuk memastikan agenda pemerkasaan ekonomi komuniti India terus diperkukuhkan agar tiada mana-mana komuniti yang tertinggal dalam perjalanan menuju Malaysia Madani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN