RCI TH: UMNO sepatutnya bersyukur, terima kasih pada Anwar, Kerajaan Madani - AMK

RCI TH: UMNO sepatutnya bersyukur, terima kasih pada Anwar, Kerajaan Madani – AMK

UMNO tidak sepatutnya melihat ketegasan Anwar dalam membanteras rasuah sebagai ancaman kepada parti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO sepatutnya bersyukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani yang bertindak tegas dan tanpa memilih bulu untuk membersihkan parti itu daripada imej rasuah dan salah guna kuasa yang sinonim dengannya.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah berkata, UMNO tidak sepatutnya melihat ketegasan Anwar dalam membanteras rasuah sebagai ancaman kepada parti, sebaliknya sebagai peluang untuk melakukan reset terhadap budaya politiknya.

Katanya, UMNO sudah terlalu lama dibebani dengan persepsi rasuah dan salah guna kuasa, termasuk selepas bekas presidennya sendiri disabitkan kesalahan dan menjalani hukuman penjara. Hakikat ini tidak boleh terus dinafikan atau disapu ke bawah karpet.

“Justeru, apabila Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada siapa harus kebal daripada tindakan undang-undang, UMNO sepatutnya menyambutnya sebagai peluang untuk membersihkan parti daripada budaya lama yang selama ini gagal mereka selesaikan dari dalam.

“Kalau benar UMNO mahu membina semula keyakinan rakyat, inilah masanya untuk membuktikan bahawa kesetiaan kepada parti tidak boleh mengatasi prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang,” katanya hari ini.

MOHD SHAFIQ IQRAM

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen UMNO yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan menggunakan kedudukan berkaitan pelaburan RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad.

Seorang lagi pemimpin UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari Isnin ini, 14 September 2026.

Mohd. Shafiq berkata, dalam konteks ini, isu RCI Tabung Haji juga perlu dilihat secara matang dan terbuka kerana penubuhan RCI tidak bermaksud mana-mana pihak telah dihukum atau didapati bersalah.

Sebaliknya, kata beliau, ia memberi ruang untuk fakta diteliti secara bebas, termasuk persoalan berkaitan tadbir urus, keputusan pelaburan dan kepentingan pendeposit.

“Tabung Haji ialah sebuah institusi yang membawa amanah besar kepada umat Islam dan mempunyai kepentingan awam yang sangat besar.

“Jika terdapat kelemahan, ia perlu diperbetulkan. Jika berlaku kesalahan, pihak yang bertanggungjawab mesti berdepan dengan undang-undang. Jika tiada kesalahan, dapatan RCI pula boleh membersihkan nama mereka yang tidak bersalah,” katanya.

Sebab itu, katanya, UMNO perlu berhenti melihat setiap siasatan atau tindakan antirasuah terhadap pemimpin mereka sebagai serangan politik.

Jelasnya, sikap seperti itu hanya akan menguatkan persepsi bahawa UMNO masih belum bersedia untuk berdepan dengan budaya politik lama.

“Kalau pemimpin bersih, tiada apa yang perlu ditakutkan. Kalau berlaku kesalahan, biarlah undang-undang menentukan tanpa mengira parti atau kedudukan.

“Ketegasan Anwar dalam perkara ini boleh menjadi titik perubahan kepada UMNO, walaupun proses tersebut mungkin menyakitkan parti dalam jangka pendek.

“Tetapi kalau UMNO benar-benar mahu kembali relevan, mereka perlu berani menerima hakikat bahawa budaya lama perlu ditinggalkan,” katanya.

Pada akhirnya, kata beliau, Anwar bukan sedang memusnahkan UMNO melalui agenda antirasuah atau RCI Tabung Haji.

Sebaliknya, ketegasan terhadap rasuah, keterbukaan kepada siasatan dan keberanian menilai semula keputusan masa lalu mungkin merupakan proses yang diperlukan untuk memaksa UMNO berubah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×