KUALA LUMPUR: Individu yang mengalami masalah kesihatan seperti kemurungan dan skizofrenia yang tidak berpunca daripada faktor pekerjaan masih layak mendapat perlindungan di bawah Skim Keilatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, golongan berkenaan yang memenuhi syarat sebagai Orang Berinsurans boleh menerima faedah seperti Pencen Ilat dan faedah pemulihan.
Katanya, perlindungan itu diberikan bagi kes kesihatan yang tidak dikategorikan sebagai Penyakit Khidmat atau tidak disebabkan oleh faktor pekerjaan.
“Penyakit yang berpunca daripada pendedahan kepada faktor risiko khusus di tempat kerja adalah dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan ditakrifkan sebagai Penyakit Khidmat.
“Jemaah Doktor Khas dan Jemaah Doktor Rayuan mempunyai kuasa untuk memutuskan sesuatu kes sebagai Penyakit Khidmat sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 28, Akta 4.
“Bagaimanapun, penyakit tersebut hendaklah diketahui berpunca daripada pendedahan kepada risiko di tempat kerja dan dibuktikan berdasarkan siasatan serta pembuktian pendedahan risiko berkaitan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Vell Paari Samy Vellu sama ada Perkeso bercadang menyemak semula garis panduan pengiktirafan penyakit pekerjaan bagi mengambil kira penyakit kronik yang berpunca daripada tekanan pekerjaan.
Ramanan berkata, kerajaan sentiasa melihat keperluan untuk menambah baik garis panduan kesihatan berkaitan secara menyeluruh selaras dengan perubahan corak pekerjaan yang sentiasa berubah mengikut kehendak pasaran serta peningkatan usia tenaga kerja negara.
Katanya, garis panduan itu dikemas kini dari semasa ke semasa selain Perkeso menganjurkan kursus kepada ahli jemaah doktor sebanyak tiga kali setahun yang antara lain membincangkan penyakit khidmat serta kaedah pengurusannya.
“Bagi menangani isu tekanan di tempat kerja, Perkeso turut menjalankan Seminar Workplace Well-Being dan Siri Webinar Promosi Kesihatan Pekerja bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, pengurusan stres, kesejahteraan emosi serta pengurusan risiko psikososial di tempat kerja.
“Selain itu, Perkeso turut melaksanakan Program Activ@Work Challenge 2025 bagi menggalakkan majikan membudayakan aktiviti fizikal, gaya hidup sihat dan kesejahteraan mental di tempat kerja,” katanya. – UTUSAN










