Tiada sekolah vernakular akan ditutup - Wong Kah Woh

Tiada sekolah vernakular akan ditutup – Wong Kah Woh

WONG Kah Woh ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pembinaan Baharu SJKT Rajaji di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) mengulangi jaminan bahawa tiada mana-mana Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) akan ditutup di bawah pentadbiran Kerajaan Madani.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kerajaan sebaliknya komited untuk mengekalkan semua sekolah sedia ada sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara, termasuk sekolah vernakular yang memainkan peranan penting dalam landskap pendidikan Malaysia.

“Komitmen daripada Kerajaan Madani iaitu di bawah pemerintahan dan pentadbiran hari ini, kita menjamin bahawa tidak ada mana-mana sekolah, tidak kiralah sama ada sekolah kebangsaan, SJKC ataupun SJKT yang akan ditutup.

“Kita mahu mengekalkan semua sekolah yang kita ada. Jadi, dengan keyakinan (jaminan) daripada kerajaan, warga sekolah dan lembaga pengelola sekolah seharusnya boleh memberi fokus kepada pembangunan sekolah masing-masing (selepas ini),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan surat kelulusan pembinaan bangunan baharu SJKT Rajaji yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, kerajaan juga akan memperkukuh komitmen terhadap pembangunan sekolah vernakular menerusi peningkatan peruntukan penyelenggaraan SJKT di seluruh negara iaitu kepada RM50 juta pada tahun ini, berbanding hanya RM20 juta pada tahun sebelumnya.

“Ketika ini, KPM sedang memuktamadkan jumlah peruntukan yang akan disalurkan kepada setiap sekolah dengan pengumuman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa,” ujar beliau.

Sementara itu, Kah Woh memberitahu, SJKT Rajaji yang berusia 76 tahun dan mempunyai kira-kira 100 orang murid bakal dipindahkan ke tapak baharu seluas 0.9 hektar di Farlim bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa.

Menurutnya, projek pembinaan sekolah baharu itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dan berpotensi memulakan operasi di lokasi baharu selewat-lewatnya pada sesi persekolahan 2029.

Dalam perkembangan lain pula, katanya, sebanyak 22 SJKT berstatus sekolah bantuan kerajaan di Pulau Pinang akan menerima perabot dan peralatan baharu bernilai lebih RM1.156 juta menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Katanya, proses pembekalan dijangka dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang selepas keperluan setiap sekolah dikenal pasti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN