KPM serah siasatan kematian murid Tahun Satu kepada polis - Utusan Malaysia

KPM serah siasatan kematian murid Tahun Satu kepada polis

Fadhlina Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada pihak polis siasatan berhubung kematian seorang murid Tahun Satu selepas mengalami kesukaran bernafas di sebuah sekolah di Dengkil, semalam.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya ketika ini memberi tumpuan kepada sokongan psikososial kepada keluarga mangsa dan warga sekolah.

“Pertama, kita rakamkan ucapan takziah kepada keluarga. Di peringkat Kementerian Pendidikan, kita sudah pun mengambil langkah-langkah, utamanya langkah sokongan psikososial kepada keluarga dan juga warga sekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketua Polis Daerah Sepang juga telah pun membuat kenyataan. Jadi kami (KPM) akan ikut maknanya pandangan itu berdasarkan siasatan polis.

“Jadi untuk sekarang ini tumpuan KPM adalah kepada keluarga dan juga warga sekolah untuk kita berikan sokongan dari segi psikososial. Jadi siasatan itu akan dilakukan oleh pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Penataran Literasi Akta Antibuli 2026 (Akta 876) di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Lembah Pantai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, Ketua Polis Daerah Sepang sudah mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu dan sebarang tindakan KPM akan berpandukan siasatan polis.

Terdahulu, polis mengesahkan seorang murid perempuan Tahun Satu meninggal dunia selepas dipercayai mengalami kesukaran bernafas ketika berada dalam kelas sebuah sekolah di Dengkil, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang wanita pada jam 7.30 malam tadi.

Mangsa diberikan bantuan awal pernafasan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini