PETALING JAYA: Kerajaan dijangka memperkenalkan beberapa cukai baharu atau memperluas skop cukai sedia ada dalam Belanjawan 2027 yang lebih tertumpu kepada prinsip keadilan cukai dan ekonomi baharu berbanding kenaikan secara menyeluruh.
Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, antara langkah yang mungkin diperkenalkan termasuk peluasan cukai barang bernilai rendah (LVGT), cukai karbon serta peluasan skop cukai perkhidmatan digital.
Ujarnya, peluasan LVGT dapat memastikan barangan bernilai rendah yang diimport dari luar negara dikenakan cukai pada tahap yang lebih setara dengan produk dan pemain tempatan.
“Cukai karbon pula berpotensi dilaksanakan secara berperingkat, bermula dengan industri berat seperti simen, besi dan tenaga, selari dengan perkembangan mekanisme pelarasan karbon rentas sempadan (CBAM) Kesatuan Eropah (EU).
“Hasil daripada cukai tersebut boleh disalurkan kepada dana hijau bagi menyokong usaha peralihan tenaga dan pengurangan pelepasan karbon,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aimi Zulhazmi turut menjangkakan skop cukai perkhidmatan digital diperluaskan kepada bidang baharu termasuk platform kecerdasan buatan (AI), data dan pengkomputeran awan.
Beliau juga menolak kemungkinan kerajaan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat berikutan isu politik yang masih sensitif menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), manakala kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak lapan peratus dijangka dikekalkan.
“Kerajaan juga tidak dijangka menaikkan cukai pendapatan individu kerana langkah itu berisiko memberi tekanan kepada kuasa beli rakyat,” katanya.
Mengenai bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Aimi Zulhazmi berkata, kerajaan dijangka tidak meneruskan pemberian secara menyeluruh kepada semua individu berusia 18 tahun ke atas.
Sebaliknya, beliau berkata, pendekatan bantuan bersasar dijangka menjadi keutamaan kerajaan, dengan kemungkinan nilai SARA ditambah bagi kumpulan berpendapatan rendah.
“Bantuan RM100 sebulan mungkin dikekalkan untuk kumpulan B40 dan ada kemungkinan dinaikkan kepada RM150, manakala kumpulan M40 marginal mungkin menerima bantuan secara sekali bayar antara RM100 hingga RM200 mengikut kategori.
“Kerajaan dijangka tidak memberikan RM100 secara menyeluruh kerana kosnya boleh mencecah kira-kira RM2.2 bilion sebulan atau RM26 bilion setahun, sekali gus memberi tekanan kepada sasaran pengurangan defisit fiskal kepada kurang tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan mungkin memperluaskan asas cukai lebih tinggi berbanding memperkenalkan cukai baharu secara mendadak.
Beliau berkata, antara perkara yang mungkin terus diberi perhatian ialah penyelarasan SST dan elemen tertentu GST serta peluasan asas cukai kepada aktiviti ekonomi yang selama ini kurang dikenakan cukai.
“Sebarang perubahan cukai mesti progresif, berperingkat dan tidak menjejaskan kuasa beli rakyat atau daya saing perniagaan.
“Belanjawan 2027 juga perlu memberi tumpuan kepada pertumbuhan berkualiti, bukan sekadar pertumbuhan tinggi,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu terus memperkukuh sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor, AI, digital, tenaga hijau dan industri berteknologi tinggi, di samping meningkatkan produktiviti perushan mikro kecil dan sederhana (PMKS).
“Dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada permintaan luar dan membina kapasiti ekonomi domestik yang lebih kukuh,” jelasnya. – UTUSAN










