PARIS: Perenang Slovakia, Tamara Potocka pengsan selepas saringan rampaian individu wanita 200 meter (m) akibat serangan asma di Olimpik Paris, hari ini.
Menurut pegawai pasukannya, Potocka tidak membawa pam sedut dan atlet terbabit menerima rawatan perubatan dengan segera.
Kakitangan perubatan membantu Potocka dengan membawanya ke tepi kolam menggunakan pengusung sert memakai topeng oksigen selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh dalam saringan ketiga acara terbabit.
Ketua pasukannya, Ivana Lange berkata, Potocka sudah menyedarkan diri dan kini sedang menjalani penilaian perubatan.
“Potocka menghidap asma. Kombinasi ketegangan fizikal dan emosi tatkala tidak membawa pam sedut menyebabkan masalah ini berlaku.
“Potocka bakal menerima oksigen dan ubat yang diperlukan dan keadaan sentiasa dipantau. Beberapa minit yang lalu, doktor memberitahu saya bahawa beliau perlu dipantau dalam beberapa jam lagi,” jelasnya.
Catatan perenang 21 tahun itu iaitu dua minit 14.20 saat (s) menyebabkannya tersingkir untuk ke separuh akhir dan 4.3s lebih perlahan daripada perenang terpantas serta harapan emas Kanada, Summer McIntosh. – AGENSI










