Bersatu masih anggota PN

Bersatu masih anggota PN

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih anggota Perikatan Nasional (PN) walaupun parti itu dikatakan menjadi punca penggantungan gabungan tersebut selepas mengemukakan aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berikutan kemelut dalaman dan isu tadbir urus.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada keputusan dibuat berhubung status Bersatu setakat ini berikutan semua mesyuarat dan aktiviti PN digantung buat sementara waktu sehingga ada keputusan mahkamah dibuat.

Katanya, perkembangan itu menyebabkan parti komponen PN meneruskan gerak kerja politiknya secara berasingan daripada Bersatu buat masa ini termasuk dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat masa ini tiada sebarang  tindakan terhadap Bersatu. Semua mesyuarat dan aktiviti PN digantung sementara sehingga mahkamah mendengar permohonan pada 22 Oktober nanti.

“Setakat ini, Pas dan komponen lain bergerak sendiri tanpa Bersatu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Nasib dan kedudukan Bersatu dalam PN masih menjadi tanda tanya ekoran parti itu menghantar aduan bertulis kepada RoS membabitkan lapan perkara utama, termasuk dakwaan pelanggaran Perlembagaan gabungan berkenaan.

PN kini berdepan perintah perintah penggantungan terhadap semua aktiviti oleh RoS berkuat kuasa 23 September lalu mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, susulan notis yang dikeluarkan pada 22 September lalu.

Notis tersebut dikeluarkan susulan aduan rasmi yang dikemukakan oleh Bersatu kepada RoS pada 11 Ogos lalu, antara lain membabitkan dakwaan bahawa parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN selain isu berkaitan kedudukan dan keanggotaan parti itu dalam gabungan berkenaan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan menetapkan 22 Oktober ini untuk mendengar permohonan dua pihak untuk menangguhkan notis penggantungan aktiviti, nama, dan logo PN yang dikeluarkan oleh RoS. 

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, persiapan menghadapi PRN Melaka ketika ini diteruskan menerusi perbincangan antara Pas dengan parti-parti gabungan tanpa melibatkan Bersatu.

Katanya, perbincangan berkenaan membolehkan persiapan pilihan raya diteruskan sementara menunggu perkembangan lanjut berkaitan status aktiviti PN dan keputusan mahkamah pada 22 Oktober ini.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan bentuk persiapan yang sedang dilaksanakan atau sama ada terdapat sebarang perubahan terhadap kerjasama politik antara parti-parti dalam gabungan itu.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau sendiri akan mengusulkan untuk Bersatu ‘ditendang’ keluar daripada gabungan sebaik saja aktiviti PN dapat dijalankan semula.

“Secara peribadi, apabila mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipanggil kelak, saya sendiri akan mengusulkan supaya Bersatu dikeluarkan tetapi buat masa ini ada beberapa isu teknikal perlu diselesaikan termasuk dengan RoS dan mahkamah,” katanya.

Wan Saiful juga menjangkakan Bersatu akan terus melakukan gangguan terhadap PN bagi melemahkan gabungan dari dalam selepas dilihat berkeras untuk kekal bersama PN.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Bersatu terkeluar secara automatik daripada PN susulan hasrat parti itu untuk membentuk gabungan baharu. 

Namun Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan Bersatu masih kekal sebagai anggota PN dan pihaknya masih meneliti kedudukan parti itu ekoran laporan kepada ROS berkaitan keabsahan kepimpinan jawatankuasa parti berkenaan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini