PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad direhatkan daripada semua aktiviti rasmi Parti Bersama Malaysia (Bersama) selama tiga bulan berkuat kuasa 20 Oktober hingga 19 Januari 2027.
Presiden Bersama, Ahmad Syukri Che Abdul Razab berkata, parti mengambil maklum kenyataan Nik Nazmi berhubung penglibatannya dalam kes khalwat yang tersebar.
Katanya, Bersama memandang serius perkembangan itu dan berpendirian bahawa setiap isu yang melibatkan kepemimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya.
“Ini demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti.
“Sehubungan itu, parti memutuskan untuk merehatkan Nik Nazmi selama tiga bulan berkuat kuasa mulai 20 Oktober 2026 hingga 19 Januari 2027,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Syukri berkata, Bersama berpendirian bahawa keputusan itu adalah perlu dan munasabah tanpa menafikan segala sumbangan dan komitmen Nik Nazmi dalam perjuangan Bersama sejak parti dilancarkan semula pada Mei lalu.
Terdahulu, bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu mengakui individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini, Selasa lalu ialah dirinya.
Beliau menegaskan, tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang boleh menimbulkan syak wasangka seperti yang didakwa susulan insiden berkenaan.
“Saya ingin mengesahkan saya adalah salah seorang daripada individu dalam insiden tersebut.
“Pada masa pegawai JAIS tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan,” katanya. –UTUSAN











