PETALING JAYA: Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau antara individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam kes dua individu bukan mahram berdua-duaan di tempat tertutup di Petaling Jaya pada 15 Oktober lalu.
Nik Nazmi berkata, beliau bersama rakan-rakannya memulakan perbincangan di studio mereka di Brickfields, Kuala Lumpur sebelum memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek yang dibincangkan.
Bagaimanapun, katanya, ketika pegawai JAIS tiba di lokasi berkenaan, hanya beliau dan seorang wanita berada di situ.
“Seperti yang saya maklumkan juga kepada pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
“Saya ingin memohon maaf kepada isteri, keluarga kami dan semua yang terkesan atas kesilapan pertimbangan pada waktu kejadian yang tidak sewajarnya berlaku. Saya akan memberikan kerjasama dalam sebarang proses perundangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memohon maaf kepada parti Bersama kerana mengecewakan ahli dan penyokong parti itu, selain mengakui isu berkenaan menjejaskan parti.
Katanya, beliau akan menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh parti.
“Saya berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbicaraan menerusi media,” katanya.-UTUSAN











